Konsert Rampas Pukau 5,000 Peminat, Akim & The Majistret Pasang Hasrat Wujud ‘Walk Of Fame’ Di Bukit Bintang

Konsert Rampas Pukau 5,000 Peminat, Akim & The Majistret Pasang Hasrat Wujud ‘Walk Of Fame’ Di Bukit Bintang

Persembahan bertenaga yang ditunjukkan Akim  & The Majistret seperti sudah dapat dirasai peminat yang hadir apabila kumpulan itu berjaya memukau kira-kira 5,000 peminat di konsert Akim & The Majistret Rampas Kuala Lumpur yang berlangsung di Megastar Arena pada Sabtu.

Kata Akim, dia terharu kepada peminat-peminat yang tidak henti memberikan sokongan terhadap kumpulannya itu.

Meskipun sudah 11 tahun, Akim mengakui masih terkejut kerana tidak menyangka sambutan yang diterima pada konsert Akim & The Majistret Rampas Kuala Lumpur begitu memberangsangkan.

“Saya sangat-sangat terkejut dan berbesar hati dan berterima kasih kepada semua yang hadir dan memberikan sokongan.

“Perjalanan kami yang kini sudah 11 tahun pun kami tak sangka sambutan memberangsangkan dan itu membuatkan kami sangat terharu,” katanya.

Dalam pada itu, Akim selaku vokalis kumpulan berkata, dia berharap penggiat seni tempatan diberi penghargaan lebih tinggi seperti mewujudkan laluan ‘Walk of Fame’ di Bukit Bintang.

“Tempatnya pula, ikonik… Bukit Bintang kalau dalam bahasa Inggeris, Star Hill. Saya teringin pula, bila jalan dekat Bukit Bintang ni saya tengok, ‘kalaulah ada ‘walk Of Fame’ macam dekat Hollywood tu, ada tapak-tapak sebegitu’ kan best.

“Saya harap dimasa akan datang, mungkin ada walk of fame untuk artis-artis daripada Malaysia. Ada Tan Sri P Ramlee, Puan Sri Saloma, Datuk M. Nasir, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Saya harap di Bukit Bintang ini ada anak-anak seni kita.  Mudah-mudahan. Ini adalah impian dan cita-cita. Terim akasih kerana senatiasa bersama kami. Inshaa-Allah kami akan berusaha keras untuk konsert akan datang,” jelasnya.

 

Untuk info, konsert Akim & The Majistret Rampas Kuala Lumpur turut menyaksikan vokalis itu membawakan sebanyak 23 buah lagu  menerusi empat segmen.

Malah, dua daripada lagu tersebut dinyanyikan semula oleh Akim antaranya, lagu nyanyian Marsha (Cinta) dan Warkah Bunga (Ara Johari).

Scroll to Top