POKLIP terkejut juga bila dapat tahu Konsert Mawi World Live In Kuala Lumpur yang dijadualkan Januari tahun depan terpaksa dibatalkan. Sayang, acara meraikan 20 tahun usia seni Mawi terpaksa dilupakan.
Apa alasan sebenar, Poklip tidak tahu. Mawi juga menerusi media sosial hanya mengumumkan berita tersebut atas alasan sudah mencuba sebaik mungkin namun terpaksa meneruskan pembatalan.
Maka berguni-guni spekulasi mula memenuhi ruang komen di pelbagai lapangan media sosial. Ada yang dakwa, tiket tidak laku. Ada juga cakap, ‘tsumawi’ yang dulu mendunia kini sudah suram.
Ada yang dakwa para pengundi Mawi dahulu sudah tua. Sudah tidak punya kuasa untuk pergi berkonsert bagai. Mahu duduk rumah, mengaji dan beribadah.
Masing-masing punya komen, kelakar tapi menusuk ya.
Tetapi ini bukan kali pertama sebuah konsert yang dijadualkan berlangsung dibatalkan. Konsert penyanyi muda, Aisha Retno yang sepatutnya berlangsung pada 16 November tahun lalu juga dibatalkan.
Malah, Hael Hussaini juga pernah berdepan situasi sama dua tahun lalu. Dan ini tidak hanya berlaku di Malaysia, ramai juga artis luar negara yang membatalkan konsert mereka di saat-saat akhir.
Pelbagai alasan diberikan tetapi satu yang pasti, ada beberapa konsert dibatalkan kerana tidak mendapat sambutan. Itu jelas membuktikan, pengaruh media sosial belum tentu dapat menarik pembeli tiket.
Sayang sebenarnya, perancangan konsert yang makan berbulan akhirnya lenyap dek kekurangan pembeli tiket. Namun persoalannya, mengapa keyakinan itu hadir di saat perancagan konsert bermula?
Adakah pihak artis, pengurusan dan penganjur sudah membuat kajian sama ada tiket konsert boleh terjual atau tidak? Sekurangnya, adakah 10 peratus daripada pengikut media sosial akan membeli tiket?
Dan yang paling utama, apa strategi penjualan tiket? Apa ‘penjualan’ cerita yang harus ditebar untuk memancing perhatian? Bukan apa, Poklip sebenarnya pun sudah lupa dengan perancangan konsert Mawi.
Benar, di awal pengumuman, Mawi membotakkan kepala sebagai simbolik 20 tahun dia dalam industri seni. Tetapi selepas itu sepi. Selepas beberapa kali ditangguh, akhirnya terpaksa dibatalkan.
Mungkin strategi kurang menjadi. Tetapi Poklip juga tidak menolak kemungkinan Mawi berdepan masalah kesihatan, sama seperti yang pernah dihadapi Hael satu ketika dahulu. Maka, itu alasan yang kuat.
Tetapi yang menjadi perhatian sekarang adalah bagaimana pula dengan penjualan tiket konsert Aisha Retno yang dijadualkan berlangsung 20 September depan? Kita doakan insiden sama tidak berulang.
Jika dahulu, penganjur mengumumkan konsert dibatalkan atas alasan tiket tidak terjual. Tetapi kali ini, dengan momentum populariti, pelancaran album dan beberapa kali lagu tular, maka peluang untuk melihat Aisha beraksi cerah.
Begitu juga dengan kumpulan 4U2C dan Elite. Walaupun mungkin ada yang mengkritik, menghentam dan mempertikai, tetapi Poklip berharap mereka mampu melaksanakan perancangan konsert masing-masing.
Kita mahu industri seni muzik kita meriah dengan pelbagai konsert yang membuktikan pengkarya dan penyanyi tempatan juga punya pengaruh, kredibiliti serta kesungguhan menghiburkan peminat.
Semoga semuanya dipermudah!