Konsert Sidang Penutup jadi malam istimewa untuk peminat setia Ratu Rock negara

Konsert Sidang Penutup jadi malam istimewa untuk peminat setia Ratu Rock negara

puterialia@hmetro.com.my

Hasrat Ratu Rock negara, Ella untuk mengadakan konsert penutup tirai bagi siri Majlis Tertinggi akhirnya bakal menjadi kenyataan menerusi penganjuran konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Sidang Penutup di Unifi Arena, Bukit Jalil pada 5 Disember depan.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Group, Rohit Rampal berkata, perancangan konsert berkenaan dibuat secara spontan selepas disuarakan sendiri oleh penyanyi itu, baru-baru ini.

“Sebenarnya ‘closing’ ini kami kena ‘hijack’ hari itu. Baru-baru ini, Kak El (Ella) ada beritahu hasrat dia untuk mengadakan satu konsert penutupan bagi Majlis Tertinggi Rockqueen.

“Kami akan berkongsi pentas dengan satu konsert antarabangsa. Tetapi, kami cuba sedaya upaya memberikan pengalaman luar biasa seperti yang selalu kami lakukan. Saya fikir ini adalah cara terbaik untuk mengakhiri tahun ini bersama Kak El, Ratu Rock negara kita,” katanya.

Pengarah Jenama Rockqueen, Kapten Azhar pula memaklumkan penganjuran konsert berkenaan disifatkan sebagai satu bentuk hadiah dan penghargaan istimewa Ella, khusus buat seluruh peminat setia yang sentiasa menyokong perjalanan kerjayanya.

Dalam pada itu, Rohit menzahirkan keyakinan tinggi terhadap penganjuran konsert berkenaan, meskipun bakal bersaing dengan beberapa konsert tempatan mahupun luar negara pada tarikh sama.

“Bila Kak El (Ella) nak buat konsert, saya tidak fikir pasal ‘crowd’ atau pasal keyakinan nak jual tiket. Itu bukan kebimbangan kami selalunya.

“Kami tahu komuniti peminat sudah bersatu dengan kami dan sudah dibina sejak bertahun-tahun. Kami dah ada 300,000 orang komuniti peminat menerusi e-mel dan WhatsApp.

“Silaturahim dengan peminat sangat penting dan ia adalah sesuatu yang kami sentiasa jaga. Kami tidak ada sebarang kebimbangan dan kami tahu tiket akan laris,” katanya.

Dalam pada itu, Ella menjelaskan keputusan menjemput dua penyanyi wanita tersohor tanah air, Yuna dan Datuk Ziana Zain sebagai artis undangan adalah atas kehendak dirinya sendiri yang mendahagakan kelainan atas pentas.

Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, 60, berkata, selain kagum dengan bakat luar biasa yang dimiliki kedua-dua penyanyi berkenaan, hubungan akrab dan ikatan persahabatan yang terjalin turut menjadi pendorong utama gandingan itu direalisasikan.

“Saya memilih Yuna dan Datuk Ziana Zain kerana saya mahukan kelainan apabila beraksi bersama saya atas pentas.

“Tambahan pula, saya meminati mereka berdua dan kami juga berkawan. Ketika majlis perkahwinan Yuna pun saya ada hadir, malah kami juga ibarat jiran tetangga, jadi hubungan kami sangat baik.

“Daripada rasa minat dan mengagumi bakat yang mereka miliki, jadi saya terfikir mengapa tidak untuk membawa mereka bersama-sama beraksi atas pentas dengan saya,” kata Ella.

Dianjurkan oleh Hitman Solutions bersama Rockqueen, Sidang Penutup ini bakal membawa kelainan apabila ada pelbagai pembaharuan menarik, termasuk peluang sesi ramah mesra serta pemilihan senarai lagu berdasarkan cadangan peminat.

Dalam pada itu, Ketua Projek Khas Hitman Solutions, Keeran D turut mengulas mengenai pemilihan Unifi Arena, Bukit Jalil sebagai lokasi konsert berkenaan atas permintaan peminat yang mahukan persekitaran lebih selesa dan berhawa dingin.

Perjalanan Majlis Tertinggi Rockqueen sepanjang tahun ini bermula dengan kejayaan konsert berskala besar yang menghimpunkan 55,000 peminat di TM Stadium Nasional Bukit Jalil, sebelum diteruskan di Singapura dengan kehadiran lebih 5,000 peminat dan seterusnya di Pulau Pinang yang menyaksikan 10,000 peminat bersama-sama meraikan Ratu Rock Malaysia itu.

Dengan jumlah keseluruhan melebihi 70,000 penonton menerusi tiga konsert tersebut, Majlis Tertinggi Rockqueen bukan sahaja membuktikan kekuatan dan pengaruh Ella selepas lebih empat dekad dalam industri muzik, malah memperlihatkan bagaimana karya serta legasinya terus menyatukan peminat daripada pelbagai generasi.

Sidang Penutup ini bukan sekadar satu lagi persembahan dalam kalendar konsert tahun ini, sebaliknya dirancang sebagai sebuah malam penghargaan dan perayaan terhadap perjalanan Majlis Tertinggi Rockqueen secara keseluruhannya.

“Tahun ini satu perjalanan yang sangat ‘luar biasa’ dan penuh makna buat saya. Daripada peminat di Stadium Nasional Bukit Jalil, kemudian ke Singapura dan Pulau Pinang, saya sangat bersyukur kerana masih diberi peluang untuk bertemu dan berkongsi muzik dengan begitu ramai peminat yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan.

“Setiap perjalanan pasti ada penghujungnya dan setiap cerita ada bab terakhirnya. Jadi, saya mahu Sidang Penutup menjadi satu malam yang benar-benar istimewa untuk kita semua.

“Saya mahu kita menutup perjalanan Majlis Tertinggi Rockqueen tahun ini dengan penuh kegembiraan, kasih sayang dan kenangan yang akan kita simpan sampai bila-bila. Kalau kita sudah mulakan perjalanan ini bersama, biarlah kita tutup tirainya juga bersama,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top