“Konsert Solo Berskala Besar? Saya Tak Nak Buat Ala Kadar” – Dayang Nurfaizah

“Konsert Solo Berskala Besar? Saya Tak Nak Buat Ala Kadar” – Dayang Nurfaizah

Penyanyi cantik, Dayang Nurfaizah masih belum bersedia untuk mengadakan konsert solo berskala besar walaupun sudah lebih 25 tahun mewarnai industri muzik.

Menurut pelantun lagu Lelaki Teragung ini, antara sebab utamanya adalah keinginan untuk tidak menghampakan peminat setia yang sentiasa menyokong perjalanan seni Dayang.

Penyanyi berusia 44 tahun itu menjelaskan, sekiranya berpeluang menganjurkan konsert mega, dia mahu memastikan setiap perincian dilaksanakan dengan penuh teliti dan bukan sekadar memenuhi syarat.

“Saya tak mahu buat konsert sekadar untuk menunjuk mampu atau ala kadar. Kalau nak buat, ia perlu betul-betul sampai tahap yang saya bayangkan.

“Dalam kepala saya, pentas, visual dan susunan muzik semuanya sudah ada gambaran,” katanya kepada XTRA.

Mengakui banyak rujukannya datang daripada artis antarabangsa, Dayang mendedahkan cabaran terbesar adalah mencari pasukan produksi yang benar-benar memahami kehendaknya kerana ia melibatkan kos yang besar, aspek teknikal dan mutu bunyi.

Tegas penyanyi Di Pintu Syugra itu, fokus utamanya adalah memastikan peminat tidak terbeban dengan harga tiket sekiranya konsert solo mega itu menjadi kenyataan.

“Saya mahu semua orang dapat datang dan berseronok. Itu yang utama. Kalau tiket mahal sampai membebankan, hilang tujuan konsert itu sendiri. Kalau ada bajet besar, saya nak tumpu pada kualiti muzik dan kepuasan pendengar,” ujarnya.

Dayang ditemui usai showcase Janji with Dayang di Top View @ The Top, KOMTAR, Pulau Pinang, pada Sabtu.

Mengulas mengenai persembahan terbabit, Dayang melahirkan rasa syukur kerana persembahan berjalan lancar meskipun pada mulanya risau faktor cuaca.

“Pertama kali saya menyanyi di rooftop tanpa bumbung, di tingkat paling tinggi Komtar. Syukur cuaca baik, penonton pun terhibur dan muzik berjalan seperti yang saya impikan. Kalau hujan pun saya sudah siap sedia, hanya berhenti sekejap kalau terlalu lebat,” jelasnya.

Pada malam tersebut, Dayang mempersembahkan semua lagu daripada album terbaharunya Janji termasuk Lemah, Mungkin Ke? dan Esok Lusa Selamanya. Beberapa lagu lama seperti Dayang Sayang Kamu dan Mana Mungkin turut diperdengarkan.

Acara itu dianjurkan bersama Usanita Entertainment dan Mask Team. Showcase Janji With Dayang akan diteruskan di Kuala Lumpur pada 27 September 2025 di Tower Terrace, Kuala Lumpur Tower.

Scroll to Top