Konsortium DNeX dapat kontrak kabel dasar laut Indonesia

Konsortium DNeX dapat kontrak kabel dasar laut Indonesia

KUALA LUMPUR: Dagang NeXchange Bhd (DNeX) memeterai perjanjian dengan PT Infrastruktur Telekomunikasi Indonesia (TelkomInfra) bagi membekalkan perkhidmatan sokongan pemasangan dan penyelenggaraan sistem komunikasi kabel dasar laut melalui kapal CS DNeX Pacific Link.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu berkata, perjanjian terbabit dimeterai melalui konsortium yang diterajui oleh DNeX ditubuhkan antara unit perniagaan, PT DNeX Telco Indonesia (PT DTI) dan PT Samudera Mbiantu Sesami (PT SMS) yang akan memberikan perkhidmatan kepada TelkomInfra untuk tempoh selama tiga tahun, dengan pilihan lanjutan selama tiga tahun lagi.

Katanya, sistem komunikasi kabel dasar laut dan perkhidmatan sokongan penyelenggaraan akan diberikan kepada syarikat induk TelkomInfra, PT Telkom Indonesia Tbk, sebuah konglomerat telekomunikasi multinasional Indonesia yang tersenarai di Bursa Saham Indonesia dan mempunyai penyenaraian sekunder di Bursa Saham New York.

DNeX berkata, dengan andaian kadar penggunaan kapal sebanyak 65 peratus setahun, anggaran jumlah pendapatan setahun (termasuk caj siap sedia) kira-kira RM62 juta (215 bilion rupiah).

“Oleh itu, pendapatan untuk tiga tahun awal kontrak boleh mencecah sehingga RM186 juta dan RM372 juta dengan tambahan pilihan tiga tahun,” katanya.

Pengarah Urusan Kumpulan DNeX, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata perjanjian itu adalah pencapaian penting untuk perniagaan kabel dasar laut kumpulan.

“Ia dijangka memacu pertumbuhan dan sumbangan segmen tersebut kepada pendapatan kumpulan pada masa depan.

“Kontrak baharu itu akan membantu syarikat menjadi penggiat serantau yang utama dalam kerja-kerja pemasangan, penyelenggaraan dan pembaikan kabel dasar laut,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan infrastruktur utama oleh syarikat gergasi teknologi antarabangsa, Facebook dan Google, yang termasuk pembinaan dua kabel dasar laut baharu yang menghubungkan Indonesia dan Amerika Syarikat (AS), akan memberikan peluang pasaran baharu dan menarik untuk perniagaan kabel dasar laut kumpulan.

-BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top