'Konsortium' geng tonto

'Konsortium' geng tonto

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Gerak kerja umpama ‘konsortium’ bagi memudahkan operasi mengekori, mengintip dan berkongsi maklumat keberadaan pihak berkuasa terutama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kepada pemandu lori atau bas bermasalah.

Itu antara pendekatan terbaru digunakan kumpulan tonto dalam memastikan usaha mereka melindungi kenderaan berat atau syarikat pengangkutan yang melanggar undang-undang jalan raya dilakukan secara efisien.

Berdasarkan pemantauan diperoleh, ‘konsortium’ kerjasama ini membabitkan gabungan kumpulan tonto, pemandu lori berat bermasalah, segelintir pemandu bas dan pemandu trak tunda yang saling berkongsi maklumat.

Kebiasaannya maklumat, gambar atau operasi kenderaan JPJ seluruh negara akan dikongsi bersama melalui pelbagai kumpulan WhatsApp diwujudkan.

Ini sekali gus memudahkan pemandu lori atau lori roro merancang perjalanan [selamat’ serta mengelakkan laluan ‘panas’ berkenaan.

Salah seorang ‘longkai’ mahu dikenali sebagai Farid berkata, kegiatan geng tonto semakin licik apabila ia turut membabitkan bantuan ‘orang dalam’ jabatan penguat kuasa.

“Bukanlah sesuatu yang pelik apabila gambar notis atau memo operasi bakal dilakukan pihak berkuasa ‘bocor’ dan dikongsikan kumpulan tonto ini di dalam kumpulan WhatsApp.

“Biasanya tonto akan menghantar mesej warning (amaran) kepada pemandu lori sehari sebelum operasi diadakan. Sebagai contoh, ‘Esok Tol Duta ada operasi besar HQ dan wilayah. Check semua urine, tayar. Tak lengkap jangan lalu’. (Esok ada operasi besar-besaran anggota JPJ di Tol Duta. Periksa air kencing (dadah) dan tayar lori. Jangan lalu jika tidak lengkap dokumen lesen dan cukai jalan).

“Terdapat juga mesej amaran lain. Sebagai contoh, JPJ tahan Batu 5 timbang depan belakang hala Klang’, JPJ Penang keluar habis malam ini, hati-hati semua pilot darat’, ‘Tol Gombak tenat, JPJ tahan semua’, ‘timbang Gombak sudah siap untuk majlis potong kambing’ dan pelbagai amaran lain,” katanya.

Menurutnya, pergerakan kumpulan tonto tidak harus dipandang rendah berikutan mereka boleh tampil dalam pelbagai rupa dan lokasi.

“Ada yang sanggup memanjat bukit bagi memantau pergerakan pegawai JPJ di Stesen Penguatkuasa Timbang JPJ. Tidak kurang juga yang mengintip tindak tanduk pegawai JPJ yang berhenti di Kawasan R&R (Rehat dan Rawat) lebuh raya.

“Sama ada berhenti makan, solat, pergi ke tandas atau sekadar berehat di dalam kenderaan…semua itu dalam pemantauan tonto. Buktinya gambar anggota atau pegawai JPJ ini dirakam secara sulit sebelum dikongsikan.

“Setiap kenderaan JPJ yang keluar masuk dari lebuh raya atau stesen penguat kuasa timbang turut dipantau dan diekori. Sukar untuk mengenal pasti mereka berikutan tonto kini,” katanya.

Sementara itu, seorang pegawai JPJ enggan namanya didedahkan berkata, anggota penguat kuasa JPJ masih berdepan ancaman terancang dan licik kumpulan tonto upahan.

Menurutnya, terdapat ‘rangkaian gelap’ operasi tonto yang menjadi ‘mata dan telinga’ kepada sindiket lori lebih muatan dan kenderaan berat tidak berlesen.

“Ada kes kenderaan JPJ diekori sejauh lebih 100 kilometer bermula dari hentian R&R lebuh raya hinggalah ke pintu masuk depoh JPJ.

“Kenderaan JPJ sering diekori secara rahsia. Ada yang mengekori dari jauh menggunakan menggunakan aplikasi penjejak bagi menyalurkan maklumat operasi secara langsung kepada pemandu-pemandu lori,” katanya.

“Mereka bukan tonto biasa. Mereka mampu kesan frekuensi radio, tahu jenis kenderaan operasi dan boleh cam wajah pegawai,” tambahnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top