Konstabel polis cedera jatuh motosikal dihimpit pemandu mabuk

Konstabel polis cedera jatuh motosikal dihimpit pemandu mabuk

am@hmetro.com.my

Ipoh : Anggota polis berpangkat konstabel cedera apabila motosikal dinaikinya jatuh ketika dihimpit seorang lelaki yang memandu kereta dalam keadaan mabuk di Lorong Bercham 1, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kejadian sekitar jam 10.40 malam tadi mengakibatkan anggota polis lelaki itu, 24, mengalami luka akibat kecederaan ringan manakala suspek, 60, tidak cedera.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Honda CRV yang dipandu suspek dari arah Balai Polis Bercham menghala ke pusat bandar Ipoh, ditahan mangsa yang menunggang motosikal Yamaha di lampu isyarat persimpangan Lorong Bercham 1.

Menurutnya, suspek kemudiannya bertindak melarikan diri dengan membelok ke arah Loronng Bercham 1, menyebabkan mangsa mengekori suspek sehingga ke lokasi insiden itu berlaku apabila kereta suspek bertindak menghimpit motosikal mangsa.

“Kereta suspek tiba-tiba menghimpit motosikal mangsa, menyebabkan motosikal itu hilang kawalan lalu terjatuh di atas jalan. Konstabel polis itu mengalami cedera ringan dan dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan.

“Suspek kemudiannya ditahan dan hembusan nafas EBA-II yang dibuat di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Ipoh (Unit Penguatkuasaan) mendapati kandungan alkohol dalam badan suspek adalah sebanyak 200mg/100 ml darah iaitu melebihi had ditetapkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya lagi, susulan itu suspek seorang lelaki yang beralamat di Sungai Petani, Kedah, ditangkap dengan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top