Kontraktor G1, G2 boleh mohon permit operasi

faris.fuad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kontraktor G1 dan G2 dilantik pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh memohon kebenaran polis untuk beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata setiap permohonan perlu disertakan dokumen pendaftaran syarikat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan bukti projek dijalankan.

“Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pengurusan COVID-19 hari ini memutuskan kontraktor berkenaan dilantik untuk melaksanakan kerja pembinaan bagi projek berskala kecil dibenar beroperasi serta-merta dengan kebenaran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) atau polis.

“Surat kebenaran dikeluarkan polis tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semasa bagi mengekang penularan COVID-19.

“Bagi tukang paip, penyelenggara dan penjaja tepi jalan yang tiada majikan, permohonan bergerak hendaklah diperoleh daripada polis secara ‘one-off’. Kebenaran yang diperoleh sebelum ini masih terpakai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, KPKT berkata, kontraktor berkenaan dibenarkan beroperasi selepas diputuskan dalam mesyuarat Sidang Khas MKN yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 21 Jun lalu.

Kementerian itu berkata kontraktor berkenaan tidak perlu mendapatkan kebenaran beroperasi melalui sistem CIMS yang diselenggara oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

© New Straits Times Press (M) Bhd