am@hmetro.com.my
Butterworth: Seorang kontraktor warga Bangladesh yang dipercayai ada kaitan dengan sindiket mengatur kemasukan warga asing secara haram menerusi laluan kaunter khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menerima rasuah.
Tertuduh Alif Khan, 35 bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, lelaki masih bujang itu didakwa menerima suapan wang berjumlah RM2,000 daripada seorang wanita warga Indonesia sebagai dorongan untuk membantu menyahkan senarai hitam imigresen.
Ini berikutan wanita itu dikatakan mempunyai rekod senarai hitam imigresen yang mendakwa tertuduh boleh membantunya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di perkarangan luar sebuah hotel di Jalan Penang, Georgetown, dekat sini pada 17 Oktober lalu antara jam 9.20 malam hingga 9.45 malam.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 akta sama.
Jika sabit kesalahan tertuduh bakal berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afiqa Liyana Rozman dan tertuduh diwakili peguam Lim Sheng Zen.
Semasa prosiding, Afiqa Liyana memohon mahkamah supaya tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh berikutan dia bukan warganegara Malaysia.
“Berdasarkan siasatan, tertuduh juga berkemungkinan terbabit dengan sindiket luar negara yang ia dikhuatiri menyebabkan tertuduh melarikan diri ke negara asal atau negara lain.
“Apatah lagi, tertuduh menyewa di Bayan Lepas dan tidak ada tempat tinggal tetap namun jika mahkamah ingin membenarkan tertuduh diikat jamin diharapkan dapat meletakkan wang jaminan paling tinggi, selain mengenakan syarat tambahan,” katanya.
Bagaimanapun peguam mewakili tertuduh merayu supaya dapat memberikan jaminan yang mana anak guamnya bersedia memberikan kerjasama sehingga perbicaraan selesai.
Hakim Zulhazmi kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 20 November sebagai tarikh sebutan semula kes.
© New Straits Times Press (M) Bhd




