London: Pengurus Liam Rosenior menegaskan hubungannya dengan Enzo Fernandez berada dalam keadaan baik walaupun menggantung pemain tengah Chelsea itu selama dua perlawanan.
Rosenior membuat keputusan berani itu selepas Fernandez memberi bayangan mahu meninggalkan Stamford Bridge hujung musim ini, sekali gus mencetuskan kontroversi dalam kem The Blues.
Pemain berusia 25 tahun itu tidak diturunkan ketika Chelsea membelasah Port Vale 7-0 dalam aksi suku akhir Piala FA dan dijangka terus diketepikan dalam pertemuan penting Liga Perdana Inggeris menentang Manchester City minggu depan.
Walaupun ejen pemain mengkritik hukuman itu sebagai tidak adil, Rosenior menegaskan isu berkenaan tidak akan berpanjangan.
“Enzo tahu apa pandangan saya dan kami berbincang dengan baik. Hubungan kami berada di tempat yang baik,” katanya.
Chelsea sebelum ini berdepan prestasi tidak menentu termasuk tersingkir dari Liga Juara-Juara, sekali gus memaksa Rosenior mengambil pendekatan tegas dalam mengawal disiplin pasukan.
Dalam perlawanan itu, Chelsea tampil dominan dengan jaringan daripada beberapa pemain termasuk Joao Pedro dan Alejandro Garnacho.
Tanpa kehadiran Fernandez dan kapten Reece James, tanggungjawab memimpin pasukan diberikan kepada Cole Palmer buat kali pertama.
Rosenior memuji kepimpinan Palmer yang disifatkan berani dan mampu menjadi contoh kepada rakan sepasukan.
“Apa yang ditunjukkan Cole adalah kepimpinan sebenar di atas padang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



