London: Michael Carrick memuji kepelbagaian budaya Manchester United selepas pemilik bersama kelab itu, Jim Ratcliffe, mencetuskan kontroversi apabila mendakwa United Kingdom “dijajah oleh pendatang”.
Ratcliffe menerima kecaman meluas minggu lalu sebelum memohon maaf sekiranya kenyataannya itu menyinggung perasaan sesetengah pihak.
Menurut laporan, Ratcliffe tidak akan dikenakan pertuduhan oleh Persatuan Bolasepak (FA) selepas badan induk itu memaklumkan sedang meneliti kenyataan berkenaan.
Buat pertama kali berdepan media sejak komen kontroversi Ratcliffe, pengurus sementara United, Carrick, menegaskan sikap inklusif kelab berkenaan.
“Sir Jim sudah mengeluarkan kenyataan dan kelab juga sudah memberi maklum balas. Jadi bukan tempat saya untuk menambah apa-apa lagi. Apa yang boleh saya katakan, sepanjang saya bersama kelab ini bertahun-tahun, kami sentiasa memberi impak besar di peringkat global.
“Kami bangga dengan persekitaran dan budaya di kelab ini. Kesaksamaan, kepelbagaian dan saling menghormati adalah nilai yang kami amalkan setiap hari,” katanya kepada pemberita.
Carrick beraksi selama 12 tahun sebagai pemain tengah United dan kini menjalani tugas kedua sebagai pengendali sementara selepas Ruben Amorim dipecat pada Januari.
Pengendali berusia 44 tahun itu mengakui dirinya cukup sebati dengan budaya United dan yakin terhadap komitmen kelab dalam memastikan suasana yang mesra buat semua kaum dan latar belakang.
“Sebahagian daripada berada di kelab ini, kami faham kedudukan kami di peringkat global dan tanggungjawab yang dipikul.
“Saya hanya boleh bercakap berdasarkan pengalaman sendiri. Saya sudah lama di sini bersama pelbagai pengurus dan kakitangan daripada latar belakang berbeza. Saya sedar perkara itu dan bangga dengan prinsip yang dibawa kelab ini,” katanya.
Carrick yakin kontroversi membabitkan pandangan Ratcliffe tidak akan menjejaskan keharmonian skuad berbilang negara kendaliannya.
“Kami ada kumpulan yang kuat, sama ada pemain atau kakitangan di kelab. Kami sentiasa berkomunikasi, saling membantu dan menyokong antara satu sama lain.
“Semangat pemain sangat baik minggu ini. Kami tidak sabar untuk perlawanan seterusnya. Kami di sini untuk saling membantu dan menyokong,” katanya menjelang aksi EPL menentang Everton, Isnin ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd



