Petaling Jaya : Penyanyi rap, Yonnyboii, mengakui kecewa apabila video muzik (MV) lagu Bersuara nyanyiannya bersama kumpulan Insomniacks terpaksa diturunkan susulan dakwaan mempunyai persamaan dengan MV lagu Beautiful Life nyanyian kumpulan rock Korea Selatan, Xdinary Heroes.
Bagaimanapun, Yonny berkata mereka akur dengan situasi berkenaan sebagai menghormati pandangan peminat kumpulan itu, selain memilih untuk menerima perkara tersebut dengan hati terbuka.
“Mereka tentu berasa pelik apabila ada penyanyi lain dilihat meniru MV kumpulan kegemaran mereka. Ia memang tidak menyenangkan, walaupun itu sekadar pandangan peminat.
“Kita sendiri pun pasti tidak selesa jika karya kita ditiru pihak lain,” katanya.
Menurut Yonny, pengarah MV berkenaan mungkin tidak berniat untuk meniru, malah beliau memuji hasil visual yang dihasilkan.
“Pada pandangan saya, MV itu cantik. Cuma saya harap selepas ini dapat dihasilkan sesuatu yang lebih berbeza, tetapi masih mengekalkan konsep dan kualiti yang sama,” katanya ketika ditemui pada acara INFINITI (KAMI UP) nyanyiannya bersama Malique dan Kidd Santhe di Bandar Sunway, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Yonny turut meluahkan simpati terhadap kumpulan Insomniacks yang sudah mengorbankan masa, tenaga dan kos besar bagi menjayakan MV berkenaan.
“Saya simpati dengan Insomniacks kerana mereka bersungguh-sungguh menghasilkan karya ini, termasuk mengeluarkan bajet yang besar.
“Namun, saya tetap bangga dengan pengarah kerana berjaya menghasilkan MV yang berkualiti tinggi.
“Saya faham dari sudut pengarah, dia mahu cipta sesuatu yang berbeza dan tidak klise. Tetapi mungkin kesilapannya adalah terlalu hampir dengan karya asal,” katanya.
Mengulas kemungkinan menjalani semula penggambaran, Yonny berkata perkara itu masih belum diputuskan, namun tidak menolak untuk menghasilkan visual alternatif.
“Lagu ini masih boleh dimainkan kerana tiada kaitan dengan isu plagiat. Ia ciptaan kami sendiri, cuma MV yang terkesan.
“Saya harap selepas ini kami dapat hasilkan sesuatu yang lebih diterima,” katanya.
Terdahulu, MV Bersuara menjadi perhatian selepas didakwa mempunyai unsur plagiat apabila beberapa babak serta konsep dikatakan seakan-akan menyerupai MV Beautiful Life oleh Xdinary Heroes.
Isu itu mula tular apabila peminat kumpulan K-pop berkenaan membangkitkan persamaan tersebut di media sosial.
© New Straits Times Press (M) Bhd




