
Onn Hafiz (kiri) ketika Mesyuarat BN Johor di Ibu Pejabat UMNO Johor pada Jumaat.
JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) Johor akan menganjurkan Konvensyen BN Johor pada 14 Jun depan bagi memperkukuhkan tekad dan hala tuju perjuangan parti di negeri itu.
Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keputusan tersebut dicapai hasil Mesyuarat BN Negeri Johor pada Jumaat.
“Mesyuarat hari ini berlangsung dalam suasana penuh muafakat, kebersamaan dan semangat perjuangan demi memastikan kestabilan politik serta kemajuan negeri Johor terus diperkukuhkan.
“Hasil mesyuarat, kita bersetuju bahawa Konvensyen BN Johor akan dianjurkan pada 14 Jun depan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor berkata, mesyuarat berkenaan juga menjadi platform penting untuk memperhalusi gerak kerja, mengukuhkan kerjasama antara komponen parti serta menyusun langkah yang lebih tersusun dalam memastikan agenda Maju Johor terus dipacu demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri secara menyeluruh.
“Semoga semangat permuafakatan dalam BN akan terus menjadi kekuatan utama dalam membawa suara rakyat, memperkukuh perpaduan serta memastikan setiap perancangan pembangunan dapat diterjemahkan dengan berkesan demi masa depan Bangsa Johor yang lebih gemilang,” katanya.



