
Penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal berkumpul untuk menerima bantuan daripada pusat agihan bantuan GHF di kawasan yang dikenali sebagai ‘koridor Netzarim’ di tengah Semenanjung Gaza pada 30 Julai 2025. Foto AFP
WASHINGTON – Konvoi bantuan ke Gaza terus menghadapi pelbagai halangan dalam menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan, meskipun Israel memberi jaminan bahawa laluan tertentu telah diisytihar sebagai ‘selamat’, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi.
“Rakan-rakan kami melaporkan bahawa walaupun Israel mengumumkan laluan konvoi telah ditetapkan sebagai selamat, trak bantuan masih mengalami kelewatan yang lama dan mendedahkan pemandu, petugas bantuan serta orang awam kepada bahaya,” kata Timbalan Jurucakap PBB Farhan Haq kepada para wartawan.
Menurut Haq, kelewatan itu berlaku kerana hanya satu laluan dibenarkan untuk pasukan PBB keluar dari pintu masuk Kerem Shalom ke dalam Gaza, dan tentera Israel menubuhkan satu pusat pemeriksaan sementara di laluan itu.
Haq berkata, Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) menggesa pihak berkuasa Israel supaya membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan dan bekalan komersial dalam jumlah besar secara konsisten dan serentak melalui semua lintasan dan pelbagai laluan.
“Bagi memastikan tiada sesiapa yang tercicir, bantuan mesti diagihkan hingga ke peringkat komuniti,” katanya.
Tentera Israel melancarkan serangan ke atas Gaza sejak akhir 2023, yang mengorbankan lebih 60,200 penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Serangan tanpa henti itu turut memusnahkan wilayah berkenaan dan menyebabkan kematian akibat kebuluran. – Bernama-Anadolu