PARA pelanggan yang sedang asyik menjamu selera di sebuah kedai makan di Batu Pahat, Johor terhenti seketika sambil berpaling ke arah bunyi deruman puluhan enjin dan motosikal berkuasa tinggi. Begitu juga penduduk sekitar yang teruja melihatnya.
Tertanya-tanya dalam fikiran mereka, kenapa datang ke situ? Bukan ‘port’ budak-budak motosikal pun.
Namun, apabila Pengerusi Persatuan Superbikers Malaysia (SAM) Kuala Lumpur, Datuk Azman Maat menerangkan tujuan kedatangan konvoi itu untuk meraikan sambutan Bulan Kemerdekaan, mereka rasa dihargai. Manakan tidak, belum ada mana-mana agensi kerajaan atau pihak swasta singgah untuk meraikannya di kampung tersebut.
Apatah lagi para peserta konvoi mengenakan pakaian khas Hari Kebangsaan ke-69 yang ada corak Jalur Gemilang membuatkan suasana nampak seragam, meriah dan bersemangat. Lebih menarik, sempena ulang tahun ke-69 kemerdekaan negara, jumlah peserta juga sama dengan angka itu.
“Selalunya sambutan Bulan Kemerdekaan lebih meriah di bandar, tidak meliputi seluruh pelosok negara. Tapi kami masuk sampai kampung-kampung.
“Kami datang bukan sekadar nak makan asam pedas yang popular di daerah ini, tapi juga bawa mesej betapa perlunya kita menghargai kemerdekaan negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Program tahunan SAM Kuala Lumpur ini melibatkan 46 buah motosikal berkuasa tinggi yang turut disertai penunggang serta pembonceng dari Negeri Sembilan, Johor dan Singapura. Sepanjang tiga hari, konvoi menjelajah ke beberapa kawasan luar bandar di Parit Sulong, Ayer Hitam, Muar selain Batu Pahat melibatkan jarak perjalanan hampir 800 kilometer.
Katanya, sepanjang Bulan Kemerdekaan berlangsung, perlu ada aktiviti pengisian yang mampu meninggalkan kesan supaya rakyat menghargai perjuangan orang dahulu dalam memastikan negara bebas daripada penjajah.
Dalam pada itu, di lokasi terakhir iaitu Johor Bahru, konvoi disambut oleh Presiden SAM yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, Datuk Abdul Halim Suleiman. Mereka diraikan dalam majlis sarapan pagi yang juga disertai ahli-ahi SAM Johor, SAM Terengganu dan Dragon Bikers.
Dalam majlis sama, Azman menyampaikan gambar simbolik ‘perjuangan’ SAM menaik taraf lesen memandu motosikal bagi kelas B2 kepada B secara automatik, tiga tahun lalu kepada Abdul Halim. Dalam gambar tersebut, Abdul Halim menyerahkan kertas cadangan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk dibawa ke Parlimen.

Hasil daripada kajian dan penelitian Kementerian Pengangkutan, kerajaan pada 1 Oktober 2024 mengumumkan pemegang Lesen Memandu Malaysia kelas B1 dan B2 selama lebih 10 tahun layak menyertai program peralihan khas bagi mendapatkan lesen B penuh.
“Tujuan SAM ini adalah bagi merancakkan perkembangan ekonomi.
“Kita lihat ramai penunggang motosikal berkuasa kecil berminat menaik taraf kepada kapasiti enjin lebih besar, namun terbantut berikutan kekangan lesen memandu.
“Jadi, SAM ambil insiatif untuk memudahkan perolehan lesen B penuh kepada rakyat,” ujarnya.
Azman berharap inisiatif SAM menganjurkan program Kembara Merdeka Ke-69 sedemikian dapat dicontohi oleh kelab-kelab permotoran lain.
“Buatlah konvoi bertemakan hari merdeka. Masuk kampung-kampung, semarakkan kemerdekaan negara bersama penduduk tempatan,” ujarnya.

