Koperasi wajar diiktiraf kuasa ekonomi ketiga negara – Angkasa

Koperasi wajar diiktiraf kuasa ekonomi ketiga negara – Angkasa

KELANA JAYA – Gerakan koperasi negara perlu diiktiraf sebagai Kuasa Ekonomi Ketiga Negara selaras dengan sumbangannya yang semakin besar kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, pengiktirafan itu wajar diberikan berdasarkan pencapaian memberangsangkan sektor koperasi yang kini menghimpunkan 16,468 koperasi dengan 7.3 juta anggota, aset bernilai RM186.75 bilion serta perolehan mencecah RM81.62 bilion sehingga Disember 2025.

Beliau berkata, jumlah perolehan itu bukan sahaja melepasi sasaran RM60 bilion di bawah Dasar Koperasi Malaysia 2030, malah dicapai lebih awal daripada jadual.

“Sudah tiba masanya koperasi diberikan pengiktirafan, perhatian dan layanan yang setara dengan sektor ekonomi utama lain.

“Koperasi bukan sektor kecil dan bukan sekadar instrumen sosial, sebaliknya ia adalah kuasa ekonomi rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Angkasa Ke-40 di Auditorium Angkasa, Wisma Ungku A Aziz, di sini.

Abdul Fattah berkata, menerusi Konvensyen Konsultasi Belanjawan Koperasi Malaysia 2027, Angkasa mengemukakan lapan resolusi strategik termasuk cadangan supaya kerajaan menyediakan peruntukan khas RM500 juta bagi tahun 2027 untuk memperkukuh pembangunan dan penskalaan perniagaan koperasi.

Jelasnya, berdasarkan pengalaman pelaksanaan program pembangunan koperasi, setiap RM1 yang dilaburkan mampu menjana sehingga RM10 dalam rantaian ekonomi, sekali gus membolehkan peruntukan RM500 juta memberi impak ekonomi sehingga RM5 bilion.

Beliau turut menggesa kerajaan memperkenalkan Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) khusus bagi sektor koperasi dengan cadangan dana permulaan sebanyak RM500 juta bagi meningkatkan akses pembiayaan strategik kepada koperasi.

Abdul Fattah (empat dari kiri) ketika merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Angkasa Ke-40 di Auditorium Angkasa, Wisma Ungku A Aziz, di sini.

Abdul Fattah (empat dari kiri) ketika merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Angkasa Ke-40 di Auditorium Angkasa, Wisma Ungku A Aziz, di sini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, bagi Tahun Kewangan 2027, Angkasa turut memohon peruntukan RM293.03 juta bagi melaksanakan enam projek strategik untuk memperkukuh daya saing gerakan koperasi.

Katanya, Angkasa turut mengenal pasti lima pemacu baharu ekonomi koperasi iaitu pembangunan Takaful Digital Angkasa, Bank Pelaburan Digital Islamik, penglibatan strategik dalam ekosistem perbankan digital, pembangunan ekosistem pelancongan koperasi serta pengaktifan semula CoopCity Bandar Penawar.

Mengulas perkembangan antarabangsa, Abdul Fattah berkata, beliau dipilih semula sebagai Naib Presiden ICA-Asia and Pacific serta diberi mandat menerajui ASEAN Co-operative Organization (ACO) bagi penggal 2026 hingga 2030.

Beliau berkata, ACO turut menerima pengiktirafan rasmi ASEAN sebagai entiti bersekutu yang membuka lembaran baharu kepada gerakan koperasi serantau mewakili lebih 350,000 koperasi di seluruh ASEAN.

Menurutnya, potensi perdagangan yang boleh dijana melalui ACO sepanjang tahun ini dianggarkan mencecah AS$25 juta (kira-kira RM110 juta).

Sementara itu, Abdul Fattah turut memaklumkan, Angkasa kini berada dalam fasa pemurnian pegangan strategik dalam Boost Holdings, syarikat induk kepada Boost Bank, sebagai sebahagian usaha memperkukuh penglibatan gerakan koperasi dalam sektor perbankan digital.

Beliau berkata, langkah itu selari dengan aspirasi mewujudkan institusi kewangan milik koperasi yang pernah dicetuskan Allahyarham Profesor Diraja Ungku Aziz lebih lima dekad lalu.

Dalam pada itu, beliau berkata, dengan kekuatan lebih tujuh juta anggota, aset yang besar serta penguasaan teknologi dan inovasi, gerakan koperasi berupaya muncul sebagai sektor ekonomi ketiga yang lebih dominan serta menjadi antara penyumbang utama pertumbuhan ekonomi negara menjelang 2030.

Beliau berkata, kekuatan lebih tujuh juta anggota, aset yang besar serta penguasaan teknologi dan inovasi diyakini mampu meletakkan koperasi sebagai antara penyumbang utama pertumbuhan ekonomi negara pada masa depan.

Sementara itu, Mesyuarat Agung Perwakilan Angkasa Ke-40 menyaksikan Ibrahim Abdullah daripada Koperasi Guru Melayu Negeri Sembilan Berhad dan Zaharuddin Alias daripada Koperasi Pelaburan Kakitangan Bank Muamalat Malaysia Berhad dipilih sebagai Anggota Lembaga Angkasa bagi jawatan Naib Presiden selepas menang tanpa bertanding.

Pada mesyuarat sama, enam wakil turut dipilih menganggotai Jawatankuasa Menentusahkan Draf Minit Mesyuarat Agung Perwakilan Angkasan Ke-40.

 

 

 

Scroll to Top