Kopi, biskut kontroversi 'ghaib' di rak kedai

Kopi, biskut kontroversi 'ghaib' di rak kedai

am@hmetro.com.my

Melaka: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mengesahkan kira-kira 70 peratus produk kopi dan biskut yang terpalit isu penggunaan berus bulu babi ditarik keluar dari pasaran sehingga 6 April lalu.

Tindakan itu membabitkan produk keluaran Heng Loong Coffee Sdn. Bhd. dan Tian Hup Seng Biscuit Factory Sdn. Bhd. susulan penarikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Bahagian Pengurusan Halal JAIM berkata, pemeriksaan di 33 pasar raya di negeri ini mendapati produk itu tidak lagi berada di rak jualan.

“Setakat ini, hasil pemantauan di semua premis terbabit mengesahkan tiada lagi produk berkenaan ditemui.

“Proses penarikan baki produk di peringkat seluruh negara dijangka selesai dalam masa terdekat,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi JAIM tadi.

Menurutnya, pemantauan berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan semua arahan dipatuhi sepenuhnya oleh pihak berkaitan.

Dalam pada itu, orang ramai diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya masih menemui produk terbabit di pasaran, khususnya di luar Melaka.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Bahagian Pengurusan Halal JAIM melalui talian 06-333 3333 sambungan 4055, 4056 atau 4060.

Terdahulu media melaporkan sijil halal kilang memproses kopi dan biskut di negeri ini ditarik balik serta-merta selepas didapati menggunakan berus dipercayai bulu babi dalam kerja-kerja pembersihan peralatan.

Perkara itu dikesan menerusi pemeriksaan dijalankan Bahagian Pengurusan Halal, JAIM pada Januari lalu, yang menemukan penggunaan berus berasaskan bulu haiwan di premis terbabit

Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat, berkata berus berkenaan dihantar ke Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC) dan keputusan analisis yang diterima pada bulan lalu mengesahkan berus itu mempunyai ciri fizikal bulu babi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top