Dubai: Sebuah kedai kopi tempatan di sini, Roasters, secara rasmi mencipta Rekod Dunia Guinness (GWR) baharu bagi hidangan kopi paling mahal di dunia.
Memetik laporan Gulf News, secawan kopi istimewa itu dijual pada harga 2,500 Dirham Emiriah Arab Bersatu (kira-kira RM3,200).
Rekod itu dicatatkan pada 13 September lalu di cawangan utama syarikat itu yang terletak di Boulevard Downtown Dubai.
Pengasas bersama Roasters, Konstantin Harbuz berkata, anugerah itu meraikan dedikasi pasukannya dan mencerminkan reputasi Dubai sebagai destinasi pengalaman kopi yang luar biasa.
Jenama itu yang berasal dari Dubai dan kini mempunyai 11 cawangan di seluruh Emiriah Arab Bersatu (UAE), terkenal dalam kalangan peminat kopi kerana fokusnya pada biji kopi berkualiti tinggi dan teknik membancuh yang pakar.
Kopi yang memecah rekod itu ialah bancuhan V60 menggunakan biji kopi Geisha Panama dari ladang Esmeralda, yang amat jarang ditemukan dan dihargai kerana aroma bungaannya dan rasa buah-buahan tropika.
Ia dihidangkan dalam satu set lengkap bersama pencuci mulut seperti tiramisu, ais krim coklat dan kepingan coklat istimewa.
Kesemua pencuci mulut itu turut dibuat menggunakan biji kopi Geisha yang sama bagi melengkapkan pengalaman rasa.
Bagi memastikan kualiti tertinggi, seorang barista khas akan menyediakan bancuhan kopi itu secara langsung di sisi meja pelanggan.
Minuman itu kemudiannya dipersembahkan dalam cawan kristal buatan tangan Edo Kiriko dari Jepun, yang terkenal dengan coraknya yang indah.
Untuk membantu tetamu menghayati rasa, satu set kad nota rasa turut disediakan.
Keseluruhan persembahan itu direka bukan sahaja untuk meraikan biji kopi yang jarang ditemukan, tetapi juga ketelitian hasil kerja tangan dan perkhidmatan yang terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




