Korban hidup mewah demi Islam

Korban hidup mewah demi Islam

JIKA ditanya kepada diri, siapa yang sanggup meninggalkan kehidupan mewah bergaji lima angka setiap bulan?

Itulah impian kebanyakan setiap orang, namun tidak bagi pemuda berusia 28 tahun dari Balik Pulau, Pulau Pinang yang kini dikenali Syafiq Raffiqin Liow.

“Gaji yang lumayan sehingga mencecah RM10,000 sebulan itu sekejap sahaja dihabiskan dan saya setiap bulan perlu ikat perut pada hujung bulan itu.

“Apa guna gaji yang besar namun hidup dalam tekanan dan saya pernah bertindak mahu membunuh diri kerana tiada ketenangan dalam hidup,” luahnya ketika mengenang kembali kehidupan sebelum memeluk Islam 21 tahun lalu.

Bagaimanapun masih terdetik di hatinya, pasti ada ketenangan dalam hidup dan dia perlu berusaha meraihnya.

Bercerita mengenai faktor pendorong tertarik dengan Islam, bekas eksekutif jualan di sebuah syarikat fesyen itu menjelaskan, hidupnya tidak tenang walaupun serba-serbi ada.

SYAFIQ RAFFIQIN LIOW

SYAFIQ RAFFIQIN LIOW

“Ketika itu jiwa saya kosong dan tidak tenang. Walaupun gaji banyak, ia masih tidak mencukupi buat saya setiap bulan.

“Saya mula berfikir, mengapakah begini? Apakah disebabkan saya tidak mempercayai agama (athies)? Persoalan yang sama sering bermain di fikiran,” jelasnya ketika ditemui Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Terselamat bencana tsunami 2004

Ujarnya, dia mula berfikir mengenai agama Islam selepas terselamat daripada musibah tsunami yang melanda utara negara pada 2004 lalu.

“Pada ketika itu saya sepatutnya ke pantai untuk berjemur. Namun saya batalkan hasrat itu kerana cuaca agak mendung dan saya ambil keputusan untuk tidur di rumah.

“Kira-kira pada pukul 2 petang, kawan saya menelefon lebih 40 kali untuk bertanyakan keadaan. Saya hanya memberitahu baru bangun daripada tidur dan agak kehairanan ketika itu.

“Persoalan itu akhirnya terjawab apabila saya keluar rumah dan melihat keadaan sekitar pantai yang musnah dibadai tsunami,” ceritanya yang menyatakan bernasib baik ketika itu kerana tidak jadi ke pantai sekali gus menyelamatkan nyawanya.

MASJID RAYA BAITURRAHMAN yang tetap teguh walaupun selepas dibadai bencana tsunami pada penghujung tahun 2004. Foto Canva

MASJID RAYA BAITURRAHMAN yang tetap teguh walaupun selepas dibadai bencana tsunami pada penghujung tahun 2004. Foto Canva

Tambah Syafiq, apa yang lebih hairan ialah sebuah masjid di Aceh, Indonesia yang tidak rosak dibadai tsunami walaupun keadaan sekeliling musnah.

“Mulai dari detik itu, saya terfikir banyak kali, mengapa masjid ini masih berdiri teguh? Pasti ada yang berkuasa menjaganya,” ujarnya.

Islam: The way of life

Meneruskan ceritanya, ketika hidup dalam tidak tentu arah tanpa agama, dia sering melenting dan memarahi ibunya, sedangkan jauh di sudut hati dia sayang ibunya.

Ketika pelbagai persoalan bermain di fikiran yang berserabut, dia tidak sengaja menonton rancangan Forum Perdana Ehwal Islam yang disiarkan di televisyen.

“Ahli panel ada menyebut bahawa ‘Islam is the way of life’. Saya tersentak dengan kata-kata ustaz tersebut.

“Saya rasa tercabar dan mempersoalkannya selain ingin mengetahui lebih mendalam mengenai Islam dengan merujuk kepada ruangan akhbar bahagian Islam serta carian di internet yang agak terhad ketika itu.

“Apa yang membuatkan saya sedih dan kecewa adalah apabila rakan-rakan serta orang masjid yang saya jumpa memberikan jawapan sama iaitu ‘Sila ke pejabat agama atau Perkim (Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia) untuk mengetahui tentang Islam’,” jelasnya.

Ujarnya lagi, dia ibarat sedang lemas yang memerlukan pertolongan pihak lain, namun dia perlu berenang sendiri ke tepian.

“Saya amat kecewa ketika itu. Sehinggalah saya merujuk kepada kawan yang saya harapkan boleh bantu penuhi hasrat ini.

“Bagaimanapun dia juga sering memberikan alasan sibuk dengan kerja.

“Akhirnya pada suatu petang, saya menelefonnya dan ingin memeluk Islam juga sebelum berakhirnya Ramadan 1427 Hijrah, namun alasannya tetap sama iaitu masih belum mempunyai masa terluang,” ceritanya sedih apabila mengenangkan kembali detik itu.

Sambungnya lagi, di situlah di kembali berfikir, benarkah keputusan untuk masuk Islam ini? Pada petang itu dia berkurung di dalam bilik dengan perasaan kecewa namun masih berharap dalam hati.

Sambil menadah tangan dan dia berdoa: “Ya ALLAH, aku mahu memeluk agama Islam, mengapa begitu susah? Kalau ini jalan yang benar, permudahkan ia.”

Selang beberapa ketika kemudiannya, kawannya tadi menghubunginya kembali dan meminta bersiap untuk pergi ke sebuah masjid di Batu Kurau, Perak.

“Saya terkejut besar. Adakah doa saya dimakbulkan?

“Pada malam itu juga saya mengucap dua kalimah syahadah disaksikan belasan pelajar maahad tahfiz pada pukul 2 pagi, 20 Oktober 2006 bersamaan 27 Ramadan 1427 Hijrah,” katanya.

Tidak kisah tinggal segala-galanya

Beliau kemudian memulakan hidup baru di maahad tahfiz bersama pelajar-pelajar yang rata-ratanya berusia belasan tahun dan meninggalkan kerjaya bergaji lumayan semata-mata mahu mendalami Islam.

“Ketika itu dalam dompet saya hanya ada RM2, namun hati saya tenang selain tidak risau akan makan minum. Menurut ustaz, sudah ada bahagian rezeki untuk saya di situ.

SYAFIQ kini aktif sebagai tenaga pengajar kepada saudara baharu di ibu kota.

SYAFIQ kini aktif sebagai tenaga pengajar kepada saudara baharu di ibu kota.

“Akhirnya impian memeluk agama Islam terlaksana selepas lebih setahun tertangguh. Saya bersyukur dikelilingi ahli keluarga dan rakan-rakan yang banyak membantu mengamalkan Islam yang merupakan the way of life,” katanya.

Graduan Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah dan Kepimpinan), Universiti Kebangsaan Malaysia itu kini merupakan salah seorang tenaga pengajar asas fardu ain buat saudara baharu di ibu kota.

“Saya tidak mahu bakal saudara baharu terkial-kial dalam perjalanan menuju Islam selain berputus asa dengan sikap kita sebagai Muslim yang sebahagiannya tidak mempedulikan orang lain termasuk orang bukan Islam,” ujarnya.

Sebelum menutup cerita, beliau menjelaskan bahawa hidayah itu milik ALLAH dan sesiapa sahaja yang bersungguh-sungguh mencarinya pasti akan menemui jalan.

Namun, ia juga menjadi peringatan kepada masyarakat Muslim agar lebih terbuka dan membantu mereka yang sedang mencari kebenaran.

Scroll to Top