Miami: Pemain nombor satu dunia, Carlos Alcaraz tersingkir awal di Terbuka Miami selepas tewas kepada pemain Amerika Syarikat, Sebastian Korda 6-3, 5-7, 6-4 pada pusingan ketiga, hari ini.
Kemenangan itu menjadi yang pertama buat Korda menewaskan pemain nombor satu dunia, sekali gus menamatkan kemaraan Alcaraz yang sebelum ini dilihat sebagai antara pilihan utama kejuaraan.
Aksi sengit menyaksikan Korda hampir menamatkan perlawanan lebih awal apabila mendahului 5-4 pada set kedua, namun Alcaraz bangkit untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.
Bagaimanapun, Korda kekal tenang dan meraih break penting untuk mendahului 4-3 sebelum memastikan kemenangan pada mata penamat kedua selepas pukulan balas Alcaraz tersasar.
“Perasaan sangat hebat. Memang agak mencabar, tapi saya gembira dengan cara saya bermain dan kekal fokus hingga akhir,” kata Korda.
Korda turut memuji kehebatan Alcaraz yang dianggap lengkap dalam semua aspek permainan.
Kekalahan itu menjadi penyingkiran awal kedua berturut-turut buat Alcaraz di Miami selepas pernah tewas seawal pusingan kedua tahun lalu, walaupun pernah muncul juara pada edisi 2022.
Pemain Sepanyol berusia 22 tahun itu sebelum ini berada dalam prestasi terbaik musim ini dengan rekod tanpa kalah 16 perlawanan, selain menjuarai Terbuka Australia dan kejohanan di Doha.
Korda dijadual bertemu sama ada pemain kelayakan Sepanyol, Martin Landaluce atau pilihan ke-14, Karen Khachanov untuk perebutan tempat ke suku akhir.
© New Straits Times Press (M) Bhd




