Korea Utara lancar ujian peluru berpandu, cabar pentadbiran Biden

Korea Utara lancar ujian peluru berpandu, cabar pentadbiran Biden

WASHINGTON: Korea Utara melaksanakan ujian peluru berpandu, beberapa hari selepas pegawai diplomatik dan pertahanan kanan Amerika Syarikat (AS) melawat rantau itu, kata seorang pegawai AS semalam.

Tindakan itu menjadi cabaran terang-terangan pertama oleh Pyongyang terhadap pentadbiran Presiden AS, Joe Biden.

Dua peluru berpandu dilancarkan pada Ahad, kata pegawai itu, mengulangi tindakan Pyongyang sebelum ini yang menggunakan ujian senjata itu untuk memprovokasi Washington dan Seoul.

Walaupun pegawai terbabit tidak memperincikan peluru berpandu yang dilancarkan, Washington Post melaporkan ia adalah peluru berpandu jarak dekat.

Pelancaran itu dibuat selepas pihak perisikan memberi amaran bahawa Pyongyang mungkin sedang bersiap sedia untuk berbuat demikian.

Pegawai itu memaklumkan, AS mengesan pelancaran berkenaan ketika ia berlaku.

Namun, berbeza berbanding kebiasaan, kedua-dua Korea Selatan dan Korea Utara tidak menyentuh mengenai pelancaran berkenaan, manakala pegawai AS kekal berdiam diri, sehingga sekarang.

Penganalisis menyifatkannya sebagai cabaran sederhana terhadap pentadbiran baharu Presiden AS, Joe Biden yang memulakan usaha rundingan menghentikan penggunaan senjata nuklear dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

Pelancaran itu dibuat beberapa hari selepas Setiausaha Negara AS, Antony Blinken dan Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin, melawat Jepun dan Korea Selatan untuk membincangkan kerjasama dan isu keselamatan di rantau berkenaan, dengan Korea Utara dilihat sebagai ancaman.

Ia juga susulan latihan ketenteraan bersama antara AS dan Korea Selatan pada 8 hingga 17 Mac lalu.

Kebiasaannya, pelancaran peluru berpandu itu akan disusuli dengan pengumuman besar-besaran oleh Pyongyang dan kritikan lantang daripada Seoul. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top