am@hmetro.com.my
Putrajaya: Kenaikan harga minyak di Malaysia bukan disebabkan kekurangan bekalan bahan api semata-mata, sebaliknya didorong lonjakan pelbagai kos termasuk insurans dan pengangkutan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menjelaskan walaupun terdapat beberapa perkembangan yang sedikit meredakan, namun situasi keseluruhan masih belum mempunyai kepastian.
“Kalau soal laluan, Alhamdulillah hubungan baik kita dengan Iran menyebabkan kapal Petronas sudah melepasi dan dalam beberapa hari lagi akan sampai ke Pengerang, insya-Allah.
“Tetapi, ia tidak berakhir di situ. Kos minyak yang lama, yang diambil sebelum perang, tersangkut di Selat Hormuz dan sekarang beralih ke Pengerang, itu kosnya meningkat kerana kos insurans itu sudah melepasi 100 peratus, kos pengangkutan sendiri juga bertambah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pemulihan krisis tenaga global susulan perang konflik membabitkan Iran, Amerika Syarikat dan Israel mungkin mengambil masa antara tiga hingga lima tahun.
Katanya, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani berdasarkan kemusnahan dan kerosakan terhadap operasi gas yang memerlukan masa panjang untuk dipulihkan sepenuhnya.
“Akibat daripada keganasan yang dimulakan oleh Israel, didukung oleh Amerika Syarikat dan tempiasnya ke seluruh negara Teluk dan ekonomi dunia.
“Kalau pun selesai perang esok, menurut Emir Qatar yang maklum langsung pada saya, dia kata, ‘saudara Anwar, ia akan mengambil sekurang-kurangnya tiga tahun untuk melaksanakan sebahagian kerja pembaikan bagi membolehkan operasi gas berjalan dan mungkin antara tiga hingga lima tahun untuk mencapai operasi sepenuhnya’,” katanya.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, walaupun rakyat berdepan tekanan kos sara hidup termasuk kenaikan harga diesel, keadaan di Malaysia masih terkawal berbanding beberapa negara lain yang berdepan krisis lebih serius.
“Jadi yang ditekankan dalam masalah ini, masalah ini berlaku. Hari ini kita bersyukurlah. Ada orang kata, ‘Apa Anwar ini, dalam keadaan ekonomi susah, harga diesel naik, suruh kita bersyukur.
“Itu pun satu masalah juga fahaman. Bersyukur ni kita masih bernafas, kita masih hidup, kita masih sihat. Ekonomi kita tak teruk macam negara jiran, belum beratur lagi di stesen minyak, belum tutup lagi 400 stesen minyak, belum terpaksa berjalan bekerja ke pejabat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




