Kos modal rendah

Kos modal rendah

Kuala Lumpur: Pengukuhan nilai ringgit ketika ini membuka peluang keemasan bagi pelabur Malaysia untuk memiliki hartanah di Australia pada kos modal yang jauh lebih rendah.

Firma perunding hartanah global, Knight Frank Malaysia menyifatkan trend pengukuhan mata wang tempatan itu memberikan kelebihan besar buat pembeli, terutama mereka yang menggunakan pembiayaan berasaskan ringgit.

Setakat 24 Februari 2026, ringgit didagangkan pada paras RM2.75 berbanding satu dolar Australia, menunjukkan peningkatan ketara berbanding RM3.18 yang dicatatkan pada Julai 2024.

Pengarah Bersekutu Hartanah Australia Knight Frank Pulau Pinang, Jenny Neoh Channing berkata, pembeli kini memerlukan modal lebih kecil untuk memperoleh aset sama di Australia berbanding lima tahun lalu.

“Perbezaan nilai ini secara tidak langsung menyamai pendapatan sewa selama beberapa tahun atau mengurangkan kadar leveraj secara material buat pelabur,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, faktor ini sekali gus mengurangkan kesan turun naik mata wang terhadap pinjaman bagi pembelian kediaman baharu dan tanah kosong di negara berkenaan.

Berdasarkan laporan Pejabat Percukaian Australia, Malaysia menduduki tempat kesembilan sebagai sumber pelaburan asing terbesar dalam tanah kediaman dengan nilai pelaburan mencecah RM308.5 juta (AUS$111.6 juta) bagi tempoh Julai 2023 hingga Jun 2024.

Selain pengukuhan mata wang, minat berterusan rakyat Malaysia turut didorong oleh faktor gaya hidup, penghijrahan dan kestabilan ekonomi yang ditawarkan oleh negara kanggaru itu.

Menurutnya, data migrasi menunjukkan lonjakan keyakinan tinggi apabila Australia mencatatkan rekod 415,760 ketibaan tetap dan jangka panjang antara Januari hingga September 2025, iaitu yang tertinggi dalam sejarah.

“Bagi pelabur Malaysia, angka ini bukan sekadar statistik, sebaliknya ia adalah bukti ekonomi Australia yang teguh dan sentiasa mengalu-alukan kedatangan warga asing,” katanya.

Meskipun terdapat larangan sementara pemilikan asing bagi rumah sedia ada sehingga tahun 2027, pelabur masih boleh memberi tumpuan kepada unit kediaman baharu dan projek ‘Bina-untuk-Sewa’ (BTR) yang semakin matang di sana.

“Kemasukan pelaburan asing bagi kediaman baharu kini tertumpu di Victoria, New South Wales dan Queensland.

“Tumpuan ini membuktikan tahap daya huni yang positif serta pertumbuhan hartanah kediaman yang pesat di bandar raya seperti Melbourne dan Sydney.

“Lokasi ini sering mendapat kedudukan 10 terbaik dalam kajian daya huni peringkat global dan di lokasi berkenaan, projek BTR semakin berkembang sebagai satu kelas aset,” katanya.

Mengikut Laporan Australia Horizon 2026 oleh Knight Frank, sebanyak 4,660 unit BTR siap dibina di seluruh negara itu pada 2024. Sejumlah 6,000 unit lagi siap pada 2025, manakala 4,000 unit diramal tamat pembinaan pada 2026.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top