am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Kos majlis perkahwinan dijangka meningkat 20 peratus pada tahun ini berikutan peningkatan kos logistik.
Perancang perkahwinan, Jeslina Ngatman, 50, berkata pihaknya yang mengendalikan majlis perkahwinan di bandar raya ini sejak hampir 20 tahun mendapati peningkatan kos perkahwinan berlaku hampir setiap tahun namun ia bukan mendadak.
Beliau berkata, peningkatan kos perkahwinan ini merupakan suatu perkara tidak dapat dielakkan berikutan peningkatan kos logistik mahupun barangan.
Menurutnya, bagaimanapun pasangan mempelai boleh membuat pilihan untuk menganjurkan majlis perkahwinan secara sederhana supaya ia lebih teratur dan jimat.
Katanya, misalnya sebelum ini kebanyakan majlis perkahwinan memberi undangan kepada 1,000 tetamu namun kini pasangan mempelai mengehadkan kepada 200 tetamu sehingga 500 tetamu.
Apa yang penting pasangan mempelai seharusnya memilih perancang perkahwinan yang berpengalaman supaya majlis perkahwinan berjalan lancar.”
“Ia berikutan semata-mata mahu berjimat, ada pasangan yang terpedaya dengan scammer dan sebagainya.”
“Mereka boleh memilih pakej perkahwinan bajet supaya tidak terbeban dengan kos perkahwinan,” katanya.
Pengasas Mega Legacies Enterprise itu berkata, pihaknya menawarkan pakej perkahwinan serendah RM12,000 termasuk makanan bagi 200 tetamu, dekorasi dan lokasi.
Menurutnya, pakej perkahwinan bajet ini menjadi pilihan ramai buat masa ini atas faktor kewangan serta ekonomi.
“Sehingga kini kami pernah mengendalikan majlis perkahwinan bajet termasuk di Johor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Langkawi dan Sabah.”
Malah ia juga menjadi pilihan pasangan mempelai dari Singapura,” katanya yang menawarkan empat dewan mahupun lokasi perkahwinan di sekitar bandar raya ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Karnival Pengantin Dunia Raja Sehari ke-27 bertema The Celebrity Wedding mulai 3 hingga 12 Januari depan di Angsana Mall di sini.
Sementara itu, penganjur karnival pengantin, Noor Diana Hashim, berkata lebih 50 ruang pameran dibuka termasuk perancang perkahwinan, butik andaman, katering, jurugambar, kanopi dan hantaran.
Menurutnya, penaja utama karnival berkenaan termasuk Madu Power dan Mega Legacies.
“Selain pameran pengantin, kami turut menganjurkan pertunjukan fesyen pasangan ‘mempelai cilik’, program amal bersama anak yatim dan perkongsian berkaitan penyakit saraf oleh tukang urut professional, Mazli Hamzah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
