Kos rawat air mentah lebih tinggi banding beli dari Singapura

Kos rawat air mentah lebih tinggi banding beli dari Singapura

latifah@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kos merawat sendiri air mentah adalah lebih tinggi berbanding jika dibeli terus dari Singapura di mana kerajaan Malaysia secara purata perlu membelanjakan sekitar RM1.80 sen bagi setiap meter padu.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, ini menunjukkan terdapat timbal balik positif dalam Perjanjian Air Sungai Johor yang dimulakan pada 1962.

“Harga ditetapkan bagi membeli air terawat dari Singapura adalah 50 sen bagi setiap 1,000 gelen. Dalam isu air terawat ini, dahulu kita janji beli lima juta gelen sehari (MGD), tetapi kita beli (ketika ini) sehingga 16 juta MGD.

“Sebagai perbandingan, kos kalau kita rawat sendiri air, secara purata sekitar RM1.80 untuk setiap meter padu.

“Jadi harga itu kalau kita rawat tukar daripada gelen ke meter padu, yang kita beli adalah sekitar 11 sen (bagi setiap meter padu), ada timbal balik (positif) di situ,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) yang ingin tahu apakah impak ekonomi didepani Malaysia susulan penjualan air mentah kepada Singapura pada kadar yang dianggap berbentuk ‘subsidi’ dan kesan jangka panjang terhadap sumber air di Johor.

Perjanjian Air Sungai Johor pada 1962 yang akan berakhir pada 2061, memberikan Singapura 250 juta gelen air mentah sehari pada harga tiga sen bagi setiap 1,000 gelen dan Malaysia membeli semula air yang dirawat pada harga 50 sen setiap 1,000 gelen.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, kerajaan ketika ini masih meneliti keperluan untuk mengkaji semula perjanjian terbabit dengan mengambil kira kebergantungan yang tinggi Johor dalam membeli air terawat daripada Singapura.

“Maka sebelum kita buat sebarang keputusan (untuk teliti semula perjanjian terbabit), terlebih dahulu perlu capai sifar kebergantungan (ke atas Singapura) terutama kemampuan untuk kita keluarkan air terawat di Johor.

“Ini (perlu dilaksanakan) sebelum menilai apa-apa hala tuju baharu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Akmal Nasrullah ketika menjawab soalan asal yang dikemukakan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mengenai kesediaan kerajaan mengkaji semula Perjanjian Air Sungai Johor berkata, kerajaan mengambil pendekatan lebih berhati-hati bagi memastikan langkah diambil tidak membebankan rakyat.

Katanya, sebarang perubahan terhadap kadar sedia ada perlu mempertimbangkan implikasi terhadap kos pembelian air terawat daripada Singapura, yang menjadi keperluan kritikal bagi negeri Johor.

“Johor membeli air terawat daripada Singapura pada kadar RM0.50 setiap 1,000 gelen. Berdasarkan rekod Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ), Johor kini membeli purata 16 juta gelen sehari (MGD) air terawat, jauh melebihi kadar lima juta MGD yang diperuntukkan dalam perjanjian.

“Ini menyebabkan kos tambahan sekitar RM180,000 setahun ditanggung oleh Johor,” katanya.

Katanya, bagi mengurangkan kebergantungan kepada Singapura, pelbagai projek ‘Zero Dependency’ sudah dirangka dan sedang dilaksanakan.

“Antara projek utama adalah pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Sungai Johor (Sungai Lebak), pembinaan baraj di Sungai Sedili Besar serta pembinaan loji rawatan air seperti Loji Rawatan Air Layang 2 dan Loji Rawatan Air Semangar 3.

“Projek-projek ini bertujuan meningkatkan kapasiti simpanan air mentah dan terawat, sekali gus memastikan Johor mampu memenuhi keperluan air secara mandiri dalam jangka panjang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top