am@hmetro.com.my
Shah Alam: Kerajaan negeri akan melunaskan bantuan kos sewaan kali pertama kepada semua keluarga yang terjejas dalam insiden letupan paip gas di Putra Heights, minggu depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bantuan sewa kali pertama itu membabitkan 469 keluarga sementara rumah mereka diperbaiki.
“Mulai Isnin, selepas selesai sumbangan tunai (RM10,000 dan RM5,000), kira akan mula menyalurkan bantuan kos sewaan RM2,000 dan menguruskan penempatan sementara mereka.
“(Tetapi)…kita selesaikan dulu penyampaian sumbangan awal dan selepas itu kita akan uruskan perumahan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Amirudin berkata, taklimat sudah diberikan mengenai penempatan sementara terutamanya membabitkan Airbnb.
“Kita sudah dapat senarai mereka yang berminat untuk tinggal di Airbnb dan sebagainya.. setakat ini 16 keluarga sudah bersetuju.
“Selebihnya terpulang kepada mereka, dengan tawaran sewa RM2,000 saya rasa mereka pun hendak cari kediaman selesa kerana Smart Sewa atau Airbnb kedudukannya agak jauh dari lokaliti asal mereka.
“Jika mereka bekerja di sekitar Cyberjaya atau Putrajaya itu agak sesuai, tetapi kita akan bagi mereka pilihan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan negeri Selangor bersetuju menampung kos sewaan kepada pemilik dan penyewa yang terjejas dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM7.356 juta.
Amirudin dilapor berkata, kerajaan negeri akan memberikan sebanyak RM2,000 kepada setiap pemilik dan penyewa rumah yang terjejas selama tempoh enam bulan.
© New Straits Times Press (M) Bhd