
Kotak misteri berisi RM1.5 juta ditemui di tapak pembuangan sampah berhampiran kondominium terkenal. Foto Thairath
NONTHABURI, THAILAND – Polis Daerah Pak Kret di sini sedang menyiasat penemuan mengejutkan melibatkan sejumlah wang tunai kira-kira 12 juta baht (anggaran RM1.5 juta) di dalam sebuah kotak misteri.
Wang berkenaan didakwa ditemui bersama dokumen cukai dalam sebuah kotak plastik kelabu yang ditinggalkan di kawasan pembuangan sampah berhampiran sebuah kondominium terkenal di Muang Thong Thani.
Berdasarkan laporan Thairath, kejadian dilaporkan berlaku pada 5 Jun lalu apabila seorang penduduk kondominium berkenaan menjumpai kotak mencurigakan ketika melalui kawasan tersebut.
Menurut saksi, beliau pada awalnya hanya ingin mengambil semula kotak itu untuk digunakan semula, namun terkejut apabila mendapati ia mengandungi wang kertas 1,000 baht dalam jumlah yang banyak.
Susulan penemuan itu, beliau segera menghubungi pihak polis bagi menjalankan siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Pak Kret memaklumkan, pemeriksaan awal mendapati wang tunai berjumlah 12 juta baht disimpan dalam kotak berkenaan bersama dokumen berkaitan sijil pemotongan cukai serta sampul surat yang dipercayai milik sebuah agensi kerajaan.
“Kesemua wang dan dokumen terbabit telah dirampas dan dibawa ke balai untuk siasatan lanjut,” katanya.
Setakat ini, polis masih belum dapat mengenal pasti pemilik sebenar wang tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada wang itu mempunyai kaitan dengan sebarang aktiviti jenayah atau penyelewengan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.