KPDN berusaha tambah baik ekosistem pengurusan royalti muzik – Armizan

KPDN berusaha tambah baik ekosistem pengurusan royalti muzik – Armizan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali memberi jaminan akan berusaha memastikan karyawan muzik di negara ini terus menikmati royalti hasil karya mereka selama mana ia dimanfaatkan oleh pengguna.

Mengakui pelbagai isu berkisar royalti muzik diperkatakan sejak berpuluh tahun lalu sehingga kini, beliau menjelaskan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) sedang melaksanakan penambahbaikan bagi menangani isu itu.

“Menjadi tanggungjawab saya yang memimpin KPDN hari ini untuk memastikan harta dan rezeki itu terus dinikmati oleh karyawan muzik, bukan sahaja sepanjang karier aktif mereka, tetapi selama mana karya tersebut dimanfaatkan oleh pengguna,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau menjelaskan demikian selepas pertemuan dengan artis kelahiran Sabah, Bella Astillah dan Elica Paujin semalam sebelum mereka membuat persembahan sempena Karnival Jelajah KPDN Zon Sabah di Ranau.

“Sempat bertanyakan tentang perkembangan kerjaya dan kefahaman mereka tentang royalti muzik. Terkait pelbagai isu berkisar royalti muzik sejak berpuluh tahun hingga mutakhir kini, KPDN sedang melaksanakan penambahbaikan untuk menanganinya,” katanya.

Armizan berkata, antara ikhtiar oleh KPDN melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) adalah untuk memperkenalkan Garis Panduan Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) di bawah Seksyen 27M Akta Hak Cipta 1987.

“MyIPO diberi kuasa untuk mengeluarkan garis panduan berhubung perisytiharan dan pengendalian kepada mana-mana pihak yang didaftarkan sebagai CMO yang diberi mandat oleh pemunya hak cipta untuk menguruskan hak royalti mereka.

“Hasrat kita adalah untuk menambah baik ekosistem pengurusan royalti muzik. Ini termasuk peringkat advokasi dan pematuhan semua pemegang taruh serta ketelusan tadbir urus termasuk kutipan dan pembayaran.

“Namun ada segelintir pihak yang tidak berpuas hati dan sedang melakukan semakan kehakiman di mahkamah. KPDN, MyIPO dan Menteri KPDN sendiri telah dinamakan sebagai responden. Proses sedang berlangsung di mahkamah. Kita serah kepada proses undang-undang dan sistem kehakiman,” tambahnya.

Tegas Armizan, matlamat beliau adalah agar hak semua pihak dilindungi dan dipelihara termasuk artis serta karyawan.

“Ramai yang akhirnya hidup dalam keadaan susah dan kerajaan tidak boleh dilihat tidak melakukan sesuatu dalam mewujudkan kerangka perundangan yang lebih jelas dan menyeluruh. Saya sering ulangi karya dan bakat adalah harta, karya dan bakat adalah sumber rezeki,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top