am@hmetro.com.my
Seremban: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan memberi amaran kepada peniaga bazar Ramadan supaya tidak meletakkan harga makanan yang tidak masuk akal.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN negeri Faizah Othman berkata, pihaknya boleh menjalankan siasatan jika terdapat aduan berhubung harga makanan walaupun ia bukan tertakluk di bawah bidang kuasa pihaknya secara langsung.
“Jika ada aduan peniaga mengenakan harga yang terlalu mahal, notis akan dikeluarkan kepada mereka bagi mendapatkan maklumat awal sebelum pemeriksaan dan analisis lanjut dijalankan.
“Ia termasuk menilai kapasiti keuntungan yang diperoleh bagi menentukan sama ada berlaku pencatutan atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Garden Homes Seremban 2, di sini, petang ini, sejurus mengetuai Ops Pantau.
Beliau berkata, penentuan harga yang tidak munasabah dibuat berdasarkan formula khusus dan perbuatan mengambil keuntungan tinggi yang tidak munasabah adalah kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
Bagaimanapun beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak mendapat mana-mana aduan berkaitan harga makanan yang terlampau atau tidak munasabah di bazar Ramadan di negeri ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Faizah berkata, sepanjang Ops Pantau yang dijalankan bermula 19 Februari sehingga 1 Mac lalu, sebanyak 345 premis diperiksa dan daripada jumlah itu sebanyak 14 premis didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dengan kompaun RM1,400.
Katanya, pengguna boleh menyalurkan sebarang aduan kepada pihaknya bagi tindakan lanjut menerusi pelbagai platform yang disediakan seperti melalui talian WhatsApp 019-848 8000.
© New Straits Times Press (M) Bhd




