KPDN Johor tumpas sindiket seleweng LPG, nilai rampasan cecah RM200,000

KPDN Johor tumpas sindiket seleweng LPG, nilai rampasan cecah RM200,000

Kluang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menumpaskan satu sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi yang berselindung di sebalik aktiviti pusat timbang kelapa sawit di Machap dekat sini, Rabu lalu.

Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, taktik itu terbongkar menerusi serbuan bersama KPDN Putrajaya, 8 malam, apabila pihaknya menemukan 1,176 tong kosong dan berisi gas dengan anggaran berat empat tan bernilai RM200,000, serta sebuah tangki lori.

“Taktik sindiket ini ialah menjadikan stor lama di belakang pusat timbang dan pengumpulan kelapa sawit untuk aktiviti memindahkan LPG bersubsidi 14 kilogtam ke tangki lori dengan kaedah yang dikenali sebagai ‘decanting’.

“Dipercayai, gas itu digunakan untuk sektor perindustrian dan siasatan lanjut masih dilakukan sama ada ia untuk pasaran tempatan atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, dua pekerja terdiri daripada seorang warga tempatan dan seorang warganegara Indonesia berusia 30-an turut ditahan.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top