KPDN keluar 47 notis kepada peniaga naik harga melampau

KPDN keluar 47 notis kepada peniaga naik harga melampau

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sebanyak 47 notis dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur terhadap peniaga yang didapati menaikkan harga barangan melampau di sekitar ibu negara.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, tindakan itu diambil pasukan penguatkuasa menerusi pemantauan Op Kesan 4.0 yang dilaksanakan bermula 1 Julai lalu sehingga hari ini.

“Secara keseluruhan kira-kira 80 premis diperiksa di sekitar Kuala Lumpur termasuk daripada maklumat awam dan risikan dijalankan.

“Hasilnya, sebanyak 47 notis dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kepada peniaga membabitkan 154 item barangan bagi tujuan pengumpulan data serta analisa.

“Dalam tempoh sama juga, kita sudah menerima 27 aduan berkaitan harga barangan dan kesemua aduan itu sedang dalam penelitian oleh 98 pegawai serta anggota yang ditugaskan melakukan pemantauan terbabit,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan turun padang bagi memantau pelaksanaan Op Kesan di sebuah pasar raya di Jalan Klang Lama di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Sabri berkata, pasukan pemantauan KPDN akan turun menjalankan pemeriksaan dan mengambil tindakan dalam tempoh 24 jam selepas aduan diterima.

Katanya, langkah itu bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan tanpa kawalan dan memastikan rakyat tidak terkesan susulan pengumuman Cukai Perkhidmatan (SST).

“Setakat ini, pemeriksaan dijalankan mendapati harga barangan adalah terkawal. Kebanyakan barangan dipantau dijual lebih murah, kekal dan hanya ada beberapa barang sedikit meningkat (harga).

“Namun ini kita akan kaji sama ada peningkatan itu disebabkan oleh faktor SST, cuaca, logistik atau pengaruh negara luar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KPDN akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak sekiranya didapati menaikkan harga tidak munasabah dan tidak sejajar perundangan pencatutan.

Kata beliau, tindakan itu sebahagian inisiatif Kita Gempur yang dilancarkan pada 19 Oktober tahun lalu dalam menangani isu manipulasi aktiviti perniagaan.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti manipulasi harga untuk menyalurkan aduan lengkap kepada KPDN Kuala Lumpur menerusi portal e-aduan, aplikasi Ez ADU KPDN, Pusat Arahan Penguatkuasaan di talian 03-88826245/6088 atau WhatsApp di talian 012-6654292.

Terdahulu, media melaporkan KPDN akan melaksanakan Op Kesan 4.0 sejajar pelaksanaan semakan kadar Cukai Jualan dan peluasan skop SST mulai 1 Julai.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali dilaporkan berkata, ia bertujuan memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan dengan tidak munasabah serta bertentangan perundangan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top