am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur menggerakkan 99 penguat kuasa bagi memastikan bekalan dan harga barangan kekal mencukupi serta terkawal sepanjang Ramadan hingga menjelang Aidilfitri.
Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, pegawai berkenaan akan ditugaskan dalam Ops Pantau dalam pemantauan ke atas premis peruncit, pasar tani, pasar raya, bazar Ramadan dan Aidilfitri serta platform penjualan atas talian.
Katanya, ia bermula sejak semalam hingga 30 Mac ini yang mana pemantauan dan penguatkuasaan dilaksanakan secara berfokus, lebih kerap dan bersasar bagi memastikan tahap pematuhan yang tinggi di kalangan peniaga termasuk memastikan tiada elemen pencatutan.
“Melalui penguatkuasaan Ops Pantau, peniaga diwajibkan meletakkan tanda harga dengan jelas pada setiap barangan jualan, tidak menjual barangan pada harga tidak munasabah, menggunakan alat timbang dan sukat yang sudah ditentusahkan.
“Selain itu, memastikan label pembungkusan jelas, memaparkan terma dan syarat pembelian, mengeluarkan resit kepada pembeli, tidak menjual barangan cetak rompak atau tiruan dan menggunakan perakuan halal mengikut peraturan ditetapkan,” katanya.
Beliau ditemui pada pemantauan di Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Taman Tasik Permaisuri, Cheras, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Sabri berkata, pihaknya akan memantau bagi memastikan tiada peniaga yang menjual pada harga berlebihan dan setiap mereka perlu mempamerkan tanda harga yang jelas serta tidak mengelirukan pelanggan yang mana tindakan kompauan boleh diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
“Saya memberi peringatan dan amaran kepada mana-mana peniaga supaya menggunakan alat timbang yang sudah ditentusah saja.
“Setakat ini, kami belum menerima sebarang aduan membabitkan bazar Ramadan namun kami sentiasa bersiap sedia untuk memberi maklum balas terhadap aduan diterima,” katanya.
Sementara itu, pemantauan di Bazar Ramadan Rahmah Taman Tasik Permaisuri mendapati pada tahap terbaik, semua harga berada dalam kadar munasabah dan tanda harga dipamerkan dengan jelas.
Katanya, bazar berkenaan antara empat daripada BRR di ibu kota selain Bazar UTC Sentul, Bazar Raja Alang dan Bazar Seksyen Satu Wangsa Maju yang mana inisitif itu turut dilaksanakan melalui kerjasama dan libat urus Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menurutnya, pelaksanaan BRR yang diperkenalkan sejak 2023 antaranya menyediakan Juadah Rahmah pada harga RM5 ke bawah sebagai usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat terutama golongan memerlukan, menggalakkan penggunaan transaksi tanpa tunai dan inisiatif MySaveFood Ramadan.
Beliau berkata, setakat ini lebih 30 peniaga sudah menyertai BRR di ibu kota dan dijangka penyertaan peniaga akan meningkat dalam masa terdekat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




