KPDN laksana OPS KESAN 4.0 pantau harga susulan semakan SST

KPDN laksana OPS KESAN 4.0 pantau harga susulan semakan SST

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan OPS KESAN 4.0 sejajar pelaksanaan semakan kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (SST), mulai esok.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata ia bertujuan memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan dengan tidak munasabah serta bertentangan perundangan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).

Skop penguatkuasaan, katanya, meliputi barangan dan perkhidmatan yang terlibat dalam semakan kadar cukai jualan dan peluasan skop SST berkaitan, termasuk pemantauan terhadap barangan tidak terbabit semakan kadar SST seperti barangan keperluan asas.

Beliau berkata, tiga pendekatan sudah serta akan terus digerakkan bagi memastikan keberkesanan OPS KESAN 4.0, antaranya memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan dan menggalakkan penyertaan awam sejajar pelaksanaan KITA GEMPUR iaitu Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan.

“Melaksanakan proses pengumpulan data harga dan caj perkhidmatan, termasuk mengguna pakai data kutipan harga harian Pegawai Pemantau Harga (PPH) KPDN.

“Data ini akan dijadikan asas perbandingan harga dan caj perkhidmatan sebelum dan selepas pelaksanaan semakan kadar SST.

“KPDN akan mengambil tindakan tegas jika kenaikan harga tidak munasabah dilakukan dan tidak sejajar perundangan pencatutan.

“Peniaga individu disabitkan kesalahan melakukan pencatutan boleh didenda sehingga RM100,000, tiga tahun penjara, atau kedua-duanya, manakala bagi syarikat, denda sehingga RM500,000 boleh dikenakan jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Armizan berkata, KPDN juga menetapkan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan aduan berkaitan dengan caj, harga dan bekalan.

Saluran aduan disediakan untuk membolehkan orang ramai mengemukakan sebarang maklumat kepada KPDN melalui Pusat Arahan Penguatkuasaan di talian 03-8882 6245/6088 atau WhatsApp 012-665 4292.

Aduan juga boleh disalurkan melalui portal e-Aduan KPDN di http://eaduan.kpdn.gov.my; Pusat Panggilan: 1-800-886-800 dan aplikasi telefon pintar, Ez ADU KPDN.

Dalam perkembangan lain, Armizan berkata, sesi libat urus Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 2021 hari ini, membabitkan persatuan peniaga makanan dan minuman bagi Sabah.

Beliau berkata, ia bertujuan mendapatkan maklum balas dan pandangan berkaitan cadangan pindaan terhadap peruntukan-peruntukan kepada Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang akan dilaksanakan KPDN.

Katanya, pindaan dilaksanakan akan mengambil kira keperluan peniaga mikro dan kecil dalam sektor makanan serta minuman, berbeza dengan PPKB (Pindaan) 2021 yang hanya membenarkan penggunaan silinder LPG bersubsidi tidak melebihi 42 kilogram pada satu-satu masa.

“Peniaga jualan makanan dan minuman yang menawarkan perkhidmatan pada harga wajar tidak perlu khuatir kerana mereka akan dijamin terus mendapat manfaat subsidi LPG.

“Selain memberi pengiktirafan bagi keperluan peniaga mikro dan kecil dalam sektor makanan serta minuman, cadangan pindaan ini penting untuk mengenal pasti mekanisme kawalan untuk mengekang ketirisan subsidi terutama membabitkan aspek penyelewengan dan penyeludupan.

“KPDN juga mengalu-alukan pandangan semua pihak termasuk persatuan perniagaan makanan dan minuman untuk mengemukakan syor dan cadangan masing-masing,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top