KPDN 'mengganas', berjaya rampas RM111.3 juta sepanjang 2024

KPDN 'mengganas', berjaya rampas RM111.3 juta sepanjang 2024

anbia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Usaha gigih dibuktikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Bahagian Penguat Kuasa apabila berjaya merampas pelbagai barang kawalan dan harta intelek berjumlah RM111.359 juta sepanjang 2024.

Kejayaan itu hasil usaha komitmen KPDN menguatkuasakan undang-undang perdagangan merangkumi aspek mengawal selia bekalan dan harga barang, membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi, memberi perlindungan ke atas harta intelek dan melindungi hak-hak pengguna dalam negara.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata, berdasarkan statistik penguatkuasaan pada tahun 2024, sebanyak 845,630 pemeriksaan dilakukan berbanding tahun 2023 iaitu sebanyak 759,813 pemeriksaan.

“Ini menunjukkan jumlah peningkatan sebanyak 11.29 peratus. Pemeriksaan itu membabitkan pelbagai kategori premis termasuk di kawasan bandar dan luar bandar seluruh negara.

“Hasil pemeriksaan KPDN pada tahun 2024 berjaya menghasilkan sebanyak 10,501 kes dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM111.359 juta.

“Manakala jumlah denda diperolehi adalah sebanyak RM3.52 juta dan jumlah kompaun adalah sebanyak RM7.48 juta,” katanya.

Beliau berkata, berbanding tahun 2023, sebanyak 11,596 kes dihasilkan dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM104 juta.

“Selain itu, seramai 703 orang termasuk individu bukan warganegara ditahan atas pelbagai kesalahan sepanjang tahun 2024 berbanding 749 individu pada tahun 2023,” katanya.

Azman berkata, bagi tempoh sama juga, sebanyak 46,815 aduan diterima berbanding 43,020 aduan pada tahun 2023.

“Kesemua aduan berjaya disiasat dan diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan Ops Tiris 3.0 juga memberi kesan signifikan dalam membanteras ketirisan barang kawalan bersubsidi membabitkan minyak diesel, petrol RON95, minyak masak paket 1kg, gas petroleum cecair (LPG), gula dan tepung gandum.

“Sepanjang tahun 2024, sebanyak 43,444 pemeriksaan dilakukan di seluruh negara dengan 2,727 kes dihasilkan. Jumlah nilai rampasan bagi barang kawalan adalah RM22.45 juta manakala jumlah keseluruhan rampasan termasuk aset, peralatan dan sebagainya adalah RM90.98 juta.

“Dalam tempoh sama juga, seramai 621 individu juga ditahan untuk siasatan,” katanya.

Azman berkata, melalui pelaksanaan Ops Kesan, KPDN mengambil tindakan proaktif dalam mengekang sebarang aktiviti kenaikan harga dan pengambilan keuntungan secara tidak munasabah (mencatut), rentetan daripada keputusan Kerajaan untuk melaksanakan kadar baharu cukai jualan dan perkhidmatan bermula 1 Mac 2024 serta pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api diesel di Semenanjung Malaysia bermula 10 Jun 2024.

“Bermula 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2024, sebanyak 390 Notis Bertulis di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] dikeluarkan yang membabitkan peniaga di pelbagai peringkat rantaian pengedaran bermula daripada peringkat pengeluar / pengilang hingga ke peringkat peruncit, merangkumi 1,040 jenis barangan bagi mengesan sebarang aktiviti mencatut.

“Aktiviti e-dagang atau urus niaga secara dalam talian juga berkembang pesat dalam negara. Justeru usaha advokasi, pemantauan dan penguatkuasaan berterusan juga telah dilaksanakan oleh KPDN,” katanya.

Beliau berkata, KPDN melalui Bahagian Penguat Kuasa akan terus menyokong dan bersama-sama dengan Kerajaan sepanjang tahun 2025 dalam aspek penguatkuasaan undang-undang perdagangan berteraskan agenda Ketangkasan Penguatkuasaan yang diilhamkan Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali selain memastikan hak-hak pengguna terus dipelihara serta memaksimakan pembabitan orang awam melalui inisiatif KITA GEMPUR.

“Langkah ini demi membina kemampanan perdagangan dan mendayaupaya pengguna dalam negara,” katanya.

caption

Pix 1: AZMAN ..Bahagian Penguatkuasa KPDN capai sasaran sepanjang 2024

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top