KPDN perluas Bazar Ramadan Rahmah ke 116 lokasi seluruh negara

KPDN perluas Bazar Ramadan Rahmah ke 116 lokasi seluruh negara

am@hmeto.com.my

Johor Bahru: Orang ramai boleh mendapatkan pilihan juadah pada harga serendah RM5 menerusi Bazar Ramadan Rahmah (BRR) di seluruh negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, pada tahun ini sebanyak 116 BRR dianjurkan di seluruh negara dan membabitkan 3,000 peniaga sejak ia dianjurkan empat tahun lalu.

Menurutnya, pada peringkat awal hanya 41 lokasi BRR dan kemudian meningkat setiap tahun sebagai inisiatif membantu rakyat.

“Di Johor terdapat sembilan BRR di seluruh negeri pada tahun ini hasil kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Peniaga yang menyertai BRR mahu berkongsi rezeki dan percaya walaupun untungnya sedikit tetapi mereka mendapatkan keberkatan yang lebih,” katanya di sidang media selepas merasmikan BRR peringkat kebangsaan di Perling pada hari ini.

Beliau berkata, program Ihsan Foodbank Ramadan dilaksanakan secara kerjasama strategik bagi mengumpul lebihan makanan yang tidak terjual sebelum waktu berbuka puasa untuk disalurkan kepada golongan memerlukan.

Menurutnya, makanan dan minuman yang disumbangkan akan dikumpulkan di kanopi khas, ditimbang serta dilabel bagi tujuan pemantauan.

“Langkah ini bukan sahaja menyelamatkan makanan, malah membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

“Tahun lalu, lebih 69,000 kilogram makanan berjaya diselamatkan dengan nilai melebihi RM833,000, selain mengelakkan pelepasan kira-kira 129 kilogram gas rumah hijau ke alam sekitar,” katanya.

Fuziah berkata inisiatif BRR dan Ihsan Foodbank Ramadan ini akan terus diperkukuh dengan pelbagai insentif.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top