am@hmetro.com.my
Bukit Mertajam: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang mengambil tindakan segera terhadap sebuah stesen minyak di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R), Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Utara, di sini yang didakwa enggan menjual diesel kepada pemandu lori kerana mengutamakan pelanggan tetap.
Susulan maklumat awam, lima pegawai penguat kuasa KPDN digerakkan ke stesen terbabit jam 8 malam ini untuk menjalankan siasatan.
Pengarah KPDN negeri, S Jegan, berkata hasil pemeriksaan mendapati stok diesel masih terdapat di stesen minyak berkenaan.
“Namun, siasatan lanjut mendapati pembekalan diesel B10 daripada depoh ke stesen itu berkurangan kira-kira 50 peratus sejak Isnin lalu.
“Ia menyebabkan pihak pengurusan stesen mengutamakan penjualan kepada pelanggan tetap, manakala pelanggan lain dihadkan pembelian kepada 20 liter sahaja,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, susulan perkara itu satu tindakan kes diambil terhadap stesen minyak terbabit bagi tindakan selanjutnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16A(1)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961, iaitu keengganan menjual barang kawalan.
Terdahulu, tular dua rakaman video di platform media sosial memaparkan kekecewaan pemandu lori apabila pengurusan sebuah stesen minyak enggan menjual diesel dengan kadar yang diminta sebaliknya mengehadkan pembelian.
Perkara itu didakwa berlaku disebabkan kekurangan bekalan yang diterima stesen minyak terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




