am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kegiatan ‘tauke’ barang tiruan mengedar barangan ciplak ke seluruh negara lumpuh selepas 15,000 pasang kasut dan selipar dirampas dalam serbuan di sebuah kompleks pemborong di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, diserbu, kelmarin.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, kesemua barang tiruan itu ditemui disimpan dalam lapan stor yang dipercayai dimiliki oleh seorang warga tempatan.
Menurutnya, sindiket itu dipercayai mula bertapak di ibu negara sejak dua bulan lalu dan sering berpindah randah di sekitar Lembah Klang bagi mengelak aktiviti mereka dikesan pihak berkuasa.
“Tindakan serbuan berjaya dilakukan hasil daripada risikan oleh pihak KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selama tiga minggu serta dapat mengenal pasti rangkaian sindiket berkenaan.
“Pasukan serbuan berjaya menyita 15,000 pasang selipar dan kasut tiruan berjenama pelbagai dengan anggaran nilai hampir RM400,000,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Mohd Sabri berkata, kebanyakan barangan tiruan berkenaan dipercayai datang daripada negara China dan masuk melalui pintu laut.
Katanya, siasatan mendapati sindiket berkenaan membawa masuk produk tiruan pada harga RM4 bagi selipar dan RM20 bagi kasut dan dijual semula pada harga berlipat kali ganda kepada peniaga di seluruh negara termasuk dari negara jiran.
Menurutnya, siasatan awal mendapati selipar dijual semula sehingga RM40 hingga RM50 sepasang, manakala kasut pula dijual pada harga antara RM100 hingga RM120.
“Selain stor, turut ditemukan showroom (bilik pameran) yang berfungsi sebagai pusat pameran rahsia untuk pemborong memperkenalkan pelbagai model barangan kepada peniaga.
“Kita tidak menolak kemungkinan barangan ini turut dijual dalam talian oleh peniaga,” katanya.
Menurutnya, seorang lelaki warga tempatan berusia awal 20-an ditahan dipercayai sebagai pengurus stor terbabit bagi membantu siasatan.
“Siasatan dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001)kerana jumlah rampasan agak besar dan mempunyai rangkaian sindiket.
“Rampasan kita kali ini membabitkan secara keseluruhannya sebanyak 12 jenama mewah dan KPDN mendapat kerjasama yang terbaik daripada wakil-wakil cap dagang berkenaan.
“Tanpa kerjasama daripada wakil-wakil cap dagang ataupun wakil jenama barang mewah kita tidak boleh buat kes,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd