Kudat: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Kudat merampas 400 liter minyak diesel disyaki cuba diseleweng dalam serbuan di sebuah stor di Jalan Airport, di sini menerusi Ops Tiris 4.0 hari ini.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Cawangan Kudat Nazatul Shima Karim berkata bahan api berkenaan disimpan dalam dua tong drum untuk kegunaan persendirian secara tidak sah.
“Seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun dipercayai sebagai pemilik stor ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu kesalahan berurusan dengan barang kawalan tanpa lesen atau kebenaran yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan secara berterusan dan lebih agresif, terutamanya di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi berlakunya aktiviti penyeludupan dan penyelewengan bahan api termasuk Kota Marudu, Pitas dan Pulau Banggi.
Nazatul Shima berkata, Ops Tiris 4.0 dilaksanakan sebagai tindakan susulan kepada Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (GEMPUR) oleh kerajaan melalui KPDN yang memberi fokus kepada usaha menangani ketirisan barang kawalan di pasaran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




