KPDN Sarawak gagalkan cubaan seleweng 10,000 liter diesel bersubsidi

KPDN Sarawak gagalkan cubaan seleweng 10,000 liter diesel bersubsidi

mdroji@bh.com.my

Kuching: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak menggagalkan cubaan menyeleweng 10,000 liter diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah kilang di Bintawa, di sini, hari ini.

Pengarah Penguat Kuasa KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata, serbuan dalam Ops Tiris 4.0 itu dilaksanakan oleh sepasukan anggotanya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, operasi bersepadu itu dijalankan hasil risikan yang dibuat sebelum oleh anggota penguat kuasa KPDN.

“Pemeriksaan lanjut mendapati sejumlah 10,000 liter minyak diesel dengan nilai rampasan RM72,700 cuba diseleweng,” katanya.

Sehubungan itu, Matthew berkata satu kesalahan di bawah Ops 555 dan Ops Jeriji mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 iaitu memiliki atau ada dalam kawalan barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak akan melakukan kesalahan,” katanya.

Menurutnya, kes itu akan disiasat mengikut AKB 1961 dan jika disabit kesalahan memperuntukkan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi pesalah individu.

Bagi kesalahan kedua dan berikutnya denda tidak melebihi RM3 juta

atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya akan dikenakan.

“Bagi syarikat yang disabit kesalahan pula boleh didenda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama manakala bagi kesalahan kedua dan berikutnya pula boleh denda tidak melebihi RM5 juta,” katanya.

Menurutnya lagi, secara kumulatif bermula 1 Januari 2024 sehingga 1 April 2026, sebanyak 308 kes dihasilkan oleh KPDN Sarawak membabitkan minyak diesel dengan 6.7 juta liter minyak diesel yang bernilai RM16.1 juta dirampas.

“Daripada jumlah itu sebanyak RM794,850 nilai kompaun dikenakan dan RM272,000 nilai denda dikenakan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top