KPDN Selangor sita 2,000 liter diesel diseleweng pemandu, kelindan lori

KPDN Selangor sita 2,000 liter diesel diseleweng pemandu, kelindan lori

SHAH ALAM: Dua individu, pemandu dan kelindan lori ditahan kerana disyaki menyalahgunakan kemudahan kad fleet bagi menyeleweng 2,000 liter bersubsidi dekat sebuah stesen minyak di Jalan Batu Tiga lama, di sini, semalam.

Kedua-dua suspek dikesan mengisi bahan api tersebut ke dalam enam tangki intermediate container tank (IBC) di dalam sebuah lori jenis bonded masing-masing berkapasiti 1,000 liter kira-kira pukul 1 tengah hari.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Mohd. Hanizam Kechek, berkata kedua-dua individu berusia 45 tahun itu dikesan berada dalam keadaan mencurigakan menerusi pemantauan rondaan di stesen minyak berkenaan.

“Anggota rondaan (kemudian) menghentikan aktiviti pengisian. Anggaran keseluruhan jumlah liter yang berjaya diselamatkan yang disyaki untuk diseleweng adalah lebih kurang 2,000 liter.

“Pada masa sama, kedua-dua individu itu didapati memiliki beberapa keping kad fleet yang dipercayai digunakan untuk transaksi pembelian. Malah, satu daripadanya didapati mempunyai nombor pengenalan yang berbeza dengan nombor pendaftaran lori. Penemuan ini memberikan maklumat awal iaitu wujud perlakuan disyaki salah guna kemudahan Fleet Card,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambanya, pemeriksaan juga mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai dokumen yang sah untuk memiliki dan membawa barang kawalan berjadual jenis bahan api diesel.

“Aktiviti ini dipercayai menjalankan transaksi mencurigakan melibatkan barangan kawalan diesel dan berpotensi disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, iaitu memiliki barang kawalan dengan syak yang munasabah untuk melakukan kesalahan dengan berurus niaga barangan kawalan tanpa lesen sah.

“Anggaran nilai rampasan keseluruhannya dalam kes ini, mencecah RM120,000 dan hasil rondaan oleh anggota bertugas di stesen minyak berjaya selamatkan nilai subsidi negara mencecah RM10,000.00. Lori dan bahan api disita,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd. Hanizam memaklumkan nilai sitaan keseluruhan dilakukan oleh KPDN Selangor menerusi Operasi (Ops) Tiris 4.0 Bersepadu antara 16 Mac hingga semalam berjumlah RM1.2 juta.

Sitaan tersebut hasil daripada 2,233 pemeriksaan yang dilaksanakan dan menemukan 52 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan RM3 juta bagi kesalahan seterusnya RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala. Bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan RM5 juta bagi kesalahan berikutknya.

“Adalah ditegaskan KPDN Selangor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal patuh peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan tindakan boleh dikenakan ke atas mana-mana individu/syarikat yang berkaitan,” jelasnya. – UTUSAN

Scroll to Top