am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan akan menjalankan siasatan mengenai kes tular yang memaparkan kos RM30 dikenakan oleh sebuah kedai di bandar ini bagi membaiki kalkulator dimasuki air.
Timbalan Pengarah KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, pihaknya akan membuat siasatan dengan memberi notis kepada peniaga kedai berkenaan.
Katanya, peniaga terbabit perlu mengemukakan maklumat mengenai harga barangan dibaiki itu.
“Sama ada betul atau tidak harga RM30 yang dikenakan untuk membaiki kalkulator, jadi kedai (peniaga) itu perlu kemuka semua maklumat mengenai caj yang dikenakan.
“Siasatan akan dibuat mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723),” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima aduan rasmi mengenai caj RM30 yang dikenakan untuk membaiki kalkulator.
Katanya, pihaknya mengetahui kes itu selepas ia tular di media sosial.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai seorang peniaga di Kota Bharu mengenakan bayaran RM30 kepada seorang pelajar untuk membaiki kalkulator yang rosak akibat terkena air.
Tindakan itu mengundang kritikan orang ramai yang mempersoalkan caj berkenaan berikutan didakwa tidak munasabah.
Pemilik kedai kemudian tampil menjelaskan bahawa caj itu membabitkan kos perkhidmatan bagi kerosakan akibat terkena air dan bukannya sekadar menukar bateri.
© New Straits Times Press (M) Bhd



