am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan sudah membekalkan senjata api dan baju kalis peluru kepada sebahagian pegawai dan anggota terutama yang bertugas di kawasan sempadan Malaysia-Thailand bagi menjamin keselamatan mereka.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh bagaimanapun berkata, kelengkapan itu diberikan kepada mereka yang ditempatkan di kawasan berisiko seperti sempadan Sungai Golok.
“Langkah berkenaan adalah bertujuan untuk menjamin keselamatan pegawai serta anggota yang bertugas susulan daripada beberapa insiden yang pernah berlaku sebelum ini di kawasan sempadan negara.
“Yang terkini, pada Rabu lalu kenderaan dinaiki Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin Mohd Nasir ditembak ketika dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat Subuh,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Program Walkabout Bazar Ramadan Rahmah (BBR) 2026 Zon Timur di Bazar Ramadan Mydin Mall, Tunjong, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Fuziah berkata, di Kelantan terdapat enam BBR dilaksanakan dengan kerjasama strategik pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Antara BBR di Kelantan termasuklah di Mydin Mall, Tunjong; Pantai Irama, Bachok; Bandar Machang; Dewan Jubli Perak, Tanah Merah; Tasek Raja, Pasir Mas; dan Dewan Pusat Sivik, Gua Musang,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang berlangsung BBR dan sebagai sebahagian daripada usaha pendigitalan sektor peruncitan, insentif e-wallet sebanyak RM20 turut diagihkan kepada pengunjung sebagai galakan transaksi tanpa tunai.
“Secara keseluruhannya, 12,000 PIN e-wallet akan diedarkan di seluruh BBR di negeri Kelantan sepanjang Ramadan tahun ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




