am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu merampas 1,405 unit cecair isian semula rokok elektronik (vape flavour) yang disyaki tiruan, semalam.
Rampasan cecair itu susulan serbuan kementerian berkenaan terhadap empat premis perniagaan di daerah ini dan Kuala Nerus, pada 12 tengah hari.
Pengarahnya, Mohd Mufsi Lat berkata, 46 anggota penguat kuasa membabitkan KPDN, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Jabatan Kesihatan Daerah Kuala Terengganu dan Jabatan Kesihatan Daerah Kuala Nerus.
Katanya, empat premis terbabit adalah tiga di daerah ini dan satu di daerah Kuala Nerus.
“Hasil pemeriksaan di premis terbabit, pasukan serbuan menemukan sejumlah 1,405 unit cecair isian semula rokok elektronik yang disyaki tiruan dan dipakaikan cap dagangan secara salah di bawah Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815).
“Kesemua barangan itu bersama beberapa dokumen perniagaan lain disita bagi tujuan siasatan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM21,094,” katanya menerusi kenyataan.
Mohd Mufsi berkata, pelaksanaan operasi itu adalah susulan aduan yang diterima daripada pemilik cap dagangan berdaftar yang berkaitan.
Susulan serbuan itu katanya, pihaknya bertindak menahan seramai empat individu lelaki warga tempatan berusia 40-an dipercayai pemilik dan pekerja di empat premis terbabit bagi membantu siasatan.
Katanya lagi, siasatan kes berkenaan sedang dijalankan di bawah Akta Cap Dagangan 2019.
© New Straits Times Press (M) Bhd