KPDN tingkat operasi sempadan susulan harga RON95 turun

KPDN tingkat operasi sempadan susulan harga RON95 turun

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan kos Sara Hidup (KPDN) akan meningkatkan operasi penguatkuasaan sempadan selepas kerajaan menurunkan harga runcit RON95 kepada RM1.99 seliter.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail, ia bagi mengawal kegiatan penyeludupan minyak petrol yang dijangka akan lebih aktif susulan margin keuntungan lebih besar selepas berlaku penurunan harga.

Katanya, KPDN akan terus menggiatkan kawalan di tiga pintu sempadan utama Malaysia-Thailand iaitu di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, Pengkalan Kubor di Tumpat dan Bukit Bunga, Jeli.

“Selain itu, rondaan lebih kerap akan dilakukan termasuk ke stesen minyak terutama yang berada di lokasi kawasan sempadan bagi mengekang penyeludupan. Kawalan memang sedia ada dijalankan tetapi akan dipergiatkan lagi selepas ini.

“Begitu juga dengan kerjasama dengan agensi penguatkuasa lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang akan terus dikekalkan dengan lebih erat.

“Kita perlu mengatur lebih banyak strategi kerana sudah dapat menjangkakan kegiatan penyeludup minyak ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Kejohanan Badminton Inter Agensi Piala Pengarah KPDN Kelantan Sempena Hari Penguatkuasa ke – 53 di Dewan Wawasan Kompleks Belia dan Sukan Panji, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Pencegahan) KPDN, Aris Mamat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top