KPDNHEP kesan 126 kesalahan berkaitan minyak masak

KPDNHEP kesan 126 kesalahan berkaitan minyak masak

PETALING JAYA : Sebanyak 126 kesalahan berkaitan minyak masak dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi Op Ayam, Telur dan Minyak Masak (Op ATM) di seluruh negara sejak 1 Julai lalu sehingga semalam.

Pelbagai kesalahan itu termasuk menyembunyikan barangan berkenaan dikesan menerusi pemeriksaan yang dijalankan di 16,562 premis termasuk 729 premis pemborong dan peruncit serta 239 operasi bersepadu bersama agensi penguat kuasa lain.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, antara kesalahan yang dikesan dilakukan adalah menyeleweng minyak masak peket dari segi pembungkusan semula dalam bentuk botol dan dijual kepada industri serta membekalkan minyak masak kepada pihak tidak berlesen.

“Ada juga pengusaha seolah-olah menyorok bekalan dengan mengalihkan atau menyimpan bekalan di tempat tidak dilesenkan, selain secara sengaja atau tidak sengaja gagal menyelenggara rekod,” katanya selepas melakukan Op ATM KPDNHEP Selangor dan pemeriksaan pematuhan harga maksimum harga minyak masak botol di sebuah pasar raya di Batu Caves di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, harga maksimum runcit minyak masak kelapa sawit tulen dalam botol berat lima kilogram (kg) ditetapkan pada harga RM34.70 manakala RM21.70 (3 kg); RM14.70 (2 kg) dan RM7.70 (1 kg).

Tambahnya, penentuan harga maksimum runcit itu diwartakan melalui Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) 2022 yang berkuat kuasa pada 8 Ogos lalu susulan keputusan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi (PKJTI).

Sejak hari pertama harga maksimum itu ditentukan, menurut Azman, sebanyak 17 peratus premis perniagaan didapati menjual minyak masak di bawah harga yang ditetapkan oleh kerajaan dan meningkat kepada 31 peratus premis, semalam manakala selebihnya menjual mengikut harga ditetapkan.

Beliau berkata, KPDNHEP menjalankan pemeriksaan secara komprehensif dengan mengenal pasti premis runcit utama yang menjadi fokus utama pengunjung di sesebuah lokaliti bagi memastikan bekalan minyak masak dalam botol dijual pada harga ditetapkan

“Justeru, peniaga yang didapati gagal mematuhi peraturan boleh diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 bagi individu manakala bagi syarikat, boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” jelasnya. – UTUSAN