KPM ambil tanggungjawab penuh keselamatan murid walaupun kes NFA

KPM ambil tanggungjawab penuh keselamatan murid walaupun kes NFA

am@hmetro.com.my

Georgetown: Kementerian Pendidikan (KPM) tetap mengambil tanggungjawab penuh terhadap keselamatan murid di sekolah walaupun polis mengklasifikasikan insiden kematian murid akibat terjatuh ke dalam saluran kumbahan di sebuah sekolah di Negeri Sembilan bulan lalu sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya mengambil sikap progresif dalam usaha memastikan kejadian sama tidak berulang termasuk memperkukuh aspek penyelenggaraan dan keselamatan infrastruktur sekolah di seluruh negara.

“Saya fikir walaupun siasatan polis menyebut NFA, tapi tidak bagi KPM kerana tanggungjawab dan soal keselamatan anak-anak di sekolah itu adalah tanggungjawab penuh KPM .

“Saya juga sudah bercakap dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak sekolah secara keseluruhannya bukan sekolah terbabit saja bahawa soal keselamatan mesti diberikan tumpuan penuh khususnya berkait rapat dengan infrastruktur,” katanya.

Fadhlina berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucaptama dan merasmikan Program Wacana Fikrah Siddiq Fadzil di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pulau Pinang di sini, hari ini.

Beliau menegaskan, soal keselamatan di sekolah menjadi tanggungjawab penuh pentadbir termasuk memastikan semua kemudahan diselenggara dengan baik dan langkah pencegahan ditingkatkan terutama dalam lingkungan kawasan yang dikhuatiri berlaku kemalangan luar jangka.

“Pelbagai intervensi dan juga mekanisme sudah dilakukan dengan penambahbaikan dalam banyak aspek keselamatan termasuk dalam lingkungan kawasan-kawasan kemalangan yang kita tidak jangka.

“Pentadbir harus komited, mengambil maklum dengan segera dan juga aspek lain termasuk menambah baik keselamatan dan juga fasiliti di sekolah mudah-mudahan semua tindakan dan tumpuan yang diberi dapat mengelakkan kejadian seumpama itu daripada berulang,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang murid tahun tiga maut selepas terjatuh ke dalam saluran kumbahan di sebuah sekolah di Lenggeng, Nilai di Negeri Sembilan pada September lalu, kira-kira jam 10 pagi.

Semalam, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, dilaporkan berkata, polis sudah melengkapkan kertas siasatan dengan kes diklasifikasikan sebagai NFA setakat ini.

Beliau berkata, hasil siasatan terperinci mendapati kejadian itu adalah kemalangan dan tiada unsur jenayah atau pembabitan mana-mana pihak dikesan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top