am@hmetro.com,my
Putrajaya: Ketua Jemaah Nazir sudah diarah untuk mengerahkan semua anggotanya menjalankan audit keselamatan sekolah, susulan insiden membabitkan murid di sekolah dan asrama.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, laporan audit berkenaan perlu dibuat setiap minggu kepadanya.
“Dapatan audit keselamatan itu, hendaklah dilaporkan kepada saya setiap minggu untuk saya bawa kepada menteri, perincikan dan (melihat) apakah tindakan yang perlu diambil.
“Itu antara inisiatif-inisiatif untuk kita melihat secara keseluruhan. Bukan kita lihat satu aspek saja tapi kita nak lihat secara keseluruhannya dan dengan usaha ini nanti, insya-Allah, kita dapat memperkukuhkan aspek keselamatan sekolah dan juga asrama, khususnya keselamatan anak-anak kita dan juga seluruh warga sekolah itu,” katanya dalam sidang media khas di Kementerian Pendidikan, di sini, petang ini.
Sidang media khas itu susulan kemalangan menimpa pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah di Selangor, awal pagi hari ini. Pelajar itu disyaki terjatuh dari tingkat tiga asrama dan masih tidak sedarkan diri di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh.
Pada masa sama, Mohd Azam berkata, beliau sudah mengarahkan semua pegawai termasuk pengarah dan pengurusan tinggi dalam KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri serta Pejabat Pendidikan Daerah membuat lawatan mengejut tanpa mengira masa di sekolah atau di asrama.
Katanya, ia bertujuan memantau sendiri keadaan dan mengumpul maklumat yang akan digunakan bersama jawatankuasa khas bagi meneliti semula dan memperkukuh prosedur keselamatan sedia ada di sekolah.
“Saya telah mengarahkan jawatankuasa untuk semakan semua prosedur, SOP berkaitan dengan pengendalian gejala buli, gangguan seksual dan juga keselamatan sekolah.
“Prosedur-prosedur yang mungkin yang kita boleh tambah baik, kita akan tambah baik. Yang perlu kita gugur, mungkin kita laksanakan penggantian, kita akan buat penggantian,” katanya.
Merujuk kepada insiden di sekolah di Sabak Bernam, Mohd Azam berkata, Pengetua, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan semua warden akan ditempatkan sementara di Pejabat Pendidikan Daerah seperti yang diumumkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, bagi memudahkan siasatan dalaman. Katanya, KPM juga meletakkan kepercayaan penuh kepada polis dalam menyiasat kes itu dan memberi jaminan akan bekerjasama dalam melancarkan siasatan.
“Sama ada pada aspek buli ke ataupun dari aspek pergaduhan ke, kita akan berikan kerjasama kepada pihak polis. KPM percaya pihak polis akhirnya akan memberikan laporan siasatan yang terperinci berhubung dengan kejadian yang berlaku ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd