KPM kerjasama dengan KPKT galak cinta Bahasa Melayu

KPM kerjasama dengan KPKT galak cinta Bahasa Melayu

am@hmetro.com.my

Taiping: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggiatkan kerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam menggalakkan penguasaan dan kecintaan terhadap Bahasa Melayu.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata antara usaha dilakukan termasuk penganjuran Program Semarak Bahasa Kebangsaan Kampung Baru (PSBKKB) yang menyasarkan sekolah vernakular sempena sambutan Bulan Kebangsaan.

Menurutnya, setakat ini KPM menerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyasarkan 10 sekolah vernakular di penempatan kampung baru seluruh negara.

“PSBKKB adalah program usaha sama KPM dan KPKT. Dengan kekuatan kedua-dua kementerian ini masuk ke kampung baru untuk kita sama-sama memperluas dan memperkukuhkan penggunaan Bahasa Kebangsaan di dalam komuniti.

“Selain daripada usaha untuk memastikan sekolah vernakular dapat diteruskan di dalam sistem pendidikan negara kita, pada masa sama pihak KPM juga mempunyai fokus dan tugas untuk memantapkan Bahasa Kebangsaan dan mengukuhkan Bahasa Inggeris.

“Dengan sekolah vernakular yang ada, kita dapat melahirkan anak yang dapat dan mampu untuk menguasai tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, dan bahasa ibunda,” katanya ketika berucap merasmikan program PSBKKB bagi kawasan Kampung Baru Pokok Assam si Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pokok Assam, di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pokok Assam, Ong Sen Guan dan.

Kata Wong, KPM melalui DBP sentiasa bersedia dalam usaha memantapkan penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya membabitkan pelbagai peringkat masyarakat yang terdiri dari pelbagai kaum dan etnik.

“Khususnya golongan muda yang bakal mewarisi kepimpinan negara pada masa mendatang, saya menekankan tentang perlunya mempunyai sifat megah bahasa dan cinta terhadap bahasa kebangsaan.

“Ia penting disebabkan elemen penguasaan bahasa kebangsaan adalah teras kepada perpaduan di negara tercinta ini.

“Saya harapkan program penuh dengan nilai ilmu dan perpaduan ini diteruskan pada masa akan datang. Marilah kita terus berusaha dan berdoa supaya bahasa kebangsaan kita terus dimartabatkan di dalam negara tercinta ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top