KPM, KPT teliti aspek teknikal pelaksanaan wajib BM, Sejarah

KPM, KPT teliti aspek teknikal pelaksanaan wajib BM, Sejarah

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang meneliti aspek teknikal susulan keputusan mewajibkan mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) dan Sejarah mengikut Kurikulum Kebangsaan bagi semua aliran pendidikan di negara ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, tumpuan diberikan kepada aspek penilaian pembelajaran, peperiksaan dan pemantauan kualiti yang melibatkan sekolah antarabangsa, sekolah agama rakyat, maahad tahfiz dan sekolah persendirian Cina.

Beliau berkata, beberapa siri perbincangan mula diadakan termasuk pertemuan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dengan Persekutuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia, Persatuan Sekolah Tahfiz, Sekolah Agama Rakyat serta wakil sekolah antarabangsa.

“Dalam pertemuan tersebut, pihak KPM telah membincangkan mengenai ketetapan untuk pelajar di sekolah yang tidak berteraskan kurikulum kebangsaan menduduki Bahasa Melayu dan Sejarah di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Pihak KPM akan memaklumkan mengenai keputusan rasmi perkara yang dibangkitkan bersama semua pihak yang terlibat,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KPT di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagi KPT, Zambry berkata, sesi libat urus telah diadakan pada 4 Feb lepas antaranya bersama persatuan sekolah antarabangsa Malaysia, jawatankuasa pendidikan daripada Dewan Perniagaan British Malaysia (BMCC), Help International Schools Group dan Sunway International Schools serta Taylor’s Education Group.

Menerusi sesi itu, beliau berkata, sekolah antarabangsa, sekolah agama dan sekolah menengah persendirian Cina memaklumkan telah menyediakan laluan peperiksaan SPM bagi membolehkan pelajar menyambung pengajian di institut pengajian tinggi awam (IPTA).

“Lebih 87 peratus pelajar sekolah persendirian Cina mengambil peperiksaan SPM,” katanya.

Berhubung perubahan struktur program matrikulasi dan tingkatan enam, beliau berkata KPT dan KPM sedang melihat urusan berkaitan perundangan, kebajikan, kewangan, perjawatan, sistem dan aset.

Zambry berkata, Jawatankuasa Pemandu Bersama antara KPT dan KPM telah ditubuhkan pada 19 Dis lepas untuk menilai semua aspek berkaitan termasuk pengoptimuman sumber sedia ada bagi kedua-dua program tersebut.

KPT akan mengambil alih keseluruhan sistem prauniversiti atau tingkatan enam dan matrikulasi bermula tahun depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top