BUKIT MERTAJAM : Kementerian Pendidikan (KPM) kini sedang memantau aktiviti pelajar bagi memastikan pengaruh yang dibawa oleh kumpulan militan seperti Islamic State (IS) tidak menyusup masuk ke dalam sistem pendidikan di negara ini.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, bagi tujuan yang sama, KPM turut bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk membendung penularan pengaruh tidak sihat itu dalam kalangan pelajar sekolah.
Katanya, kerjasama itu merangkumi tindakan-tindakan yang wajar diambil selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada bagi melindungi golongan berkenaan.
“Kita sudah serahkan perkara ini (isu penglibatan pelajar sekolah dalam IS) kepada pihak berkuasa untuk siasatan. Pada masa yang sama, di peringkat kementerian (KPM), kita juga pantau aktiviti pelajar supaya anasir-anasir ini tidak masuk ke dalam kementerian atau institusi pendidikan kita,” katanya.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal ditemui pemberita selepas merasmikan Program Sekolah Dalam Hospital di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan enam remaja berusia antara 16 hingga 21 tahun dalam satu operasi yang dijalankan oleh Cawangan Khas Bukit Aman pada 14 dan 15 Februari lalu.
Menurut Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail, ketika ditahan, kesemua enam suspek itu dipercayai sedang merancang untuk melakukan serangan terhadap balai polis dan premis-premis awam.
Katanya, semua suspek tersebut juga dipercayai telah berbai’ah kepada pemimpin IS dan merekrut ahli baharu, memiliki bahan berkaitan militan dan aktif mempromosikan kumpulan pengganas di media sosial.-UTUSAN




